15 November 2019 - 17:14
Lebih 40,000 Pelarian Diusir Keluar Istanbul

Kerajaan mengusir lebih daripada 40,000 pelarian yang menetap di Istanbul dan menghantar mereka pulang ke wilayah asal masing-masing didaftarkan sebelum ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kerajaan mengusir lebih daripada 40,000 pelarian yang menetap di Istanbul dan menghantar mereka pulang ke wilayah asal masing-masing didaftarkan sebelum ini.

Ia susulan kempen khas dilancarkan bermula Julai hingga Oktober lalu yang disasarkan untuk mengurangkan jumlah pelarian di bandar terbesar serta hab ekonomi Turki itu.

Turki adalah tuan rumah kepada hampir 3.6 juta pelarian Syria, iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding negara lain, walaupun secara teknikal mereka hanya berada di situ atas kapasiti ‘perlindungan sementara’ kerana kerajaan tidak menawarkan status pelarian secara rasmi.

Menurut sistem terbabit, mereka harus menetap di wilayah dikhususkan dan hanya dibenarkan melawat bandar lain menggunakan pas lawatan jangka pendek.

Pejabat gabenor Istanbul berkata, sejumlah 42,888 pendatang asing ditahan pihak berkuasa dan dihantar pulang ke wilayah masing-masing antara Julai dan Oktober, tanpa sebarang pengkhususan ke atas kerakyatan mereka.

Kata pejabat berkenaan, seramai 547,000 rakyat Syria didaftarkan secara rasmi di Istanbul dan tiada sebarang pendaftaran baru diterima selepas itu.

Masalah sosial di Turki masih terlalu sedikit meskipun berdepan kebanjiran pendatang berikutan konflik selama lapan tahun di negara jiran.

Keadaan bagaimanapun bertukar menjadi buruk susulan kemelut ekonomi dan penganalisis berpendapat, isu membabitkan pelarian antara lain menyumbang kepada kekalahan parti pemerintah dalam pilihan raya presiden tahun ini.

Presiden Recep Tayyip Erdogan cuba menyelesaikan isu berkenaan dengan merancang untuk mewujudkan zon selamat di utara Syria bagi membolehkan semua pelarian itu pulang ke negara asal mereka, walaupun kumpulan hak asasi manusia tidak yakin dengan keberkesanan rancangan itu. - AFP