4 Disember 2019 - 19:50

Doktor Jepun, Tetsu Nakamura yang terkorban semasa serangan di timur selatan Afghanistan, hari ini pernah mengabdikan hidupnya selama 35 tahun semata-mata merawat penduduk Afghanistan dan Pakistan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Doktor Jepun, Tetsu Nakamura yang terkorban semasa serangan di timur selatan Afghanistan, hari ini pernah mengabdikan hidupnya selama 35 tahun semata-mata merawat penduduk Afghanistan dan Pakistan.

Doktor berusia 73 tahun dari Fukuoka, Jepun yang sering dilihat mengenakan pakaian tradisional Afghanistan, Pashtun, dikatakan menuju ke Peshawar sejak 1984 untuk merawat penyakit kusta di Pakistan dan pelarian Afghanistan.

Nakamura yang ditemuramah stesen penyiar NHK, tahun lalu berkata, dia akan pulang ke tanah air apabila tugasnya selesai.

“Kami tidak mempunyai kemudahan canggih untuk lakukan pembedahan dan pemulihan, namun saya tidak boleh melarikan diri atau meninggalkan mereka begitu saja,” katanya.

Beliau yang juga pengasas Perkhidmatan Perubatan Keamanan Jepun atau dikenali sebagai Peshawar Kai di Jepun, pernah diberi penghormatan di atas tugas kemanusiaan dan diberikan kerakyatan Afghanistan.

Pada 2003, Nakamura memenangi Anugerah Ramon Magsaysay di Filipina atau digelar Hadiah Nobel Asia kerana tugas murninya itu.

Hari ini beliau dilaporkan terbunuh bersama lima anggota NGO lain selepas ditembak lelaki bersenjata semasa dalam kenderaan di Jalalabad di wilayah Nangarhar. - AFP