Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad berkata bahawa Iran, Malaysia, Turki dan Qatar sedang mempertimbangkan penggunaan dinar emas dan barter sebagai satu kaedah untuk melindungi diri mereka daripada sebarang bentuk sekatan ekonomi pada masa depan.
Pada akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang berlangsung di ibu negara Malaysia pada hari Sabtu, Tun Mahathir memuji Iran dan Qatar kerana berdikari dan mampu berdiri di atas kaki sendiri meskipun sekatan ekonomi dan embargo.
Beliau juga berkata bahawa sekatan seperti itu tidak sekadar menjejaskan Iran dan Qatar bahkan mendatangkan kesan buruk kepada negara-negara lain. Perkara ini, menurut beliau seharusnya menggerakkan dunia Islam untuk belajar berdikari dalam rangka berhadapan dengan ancaman ekonomi masa depan.
"Ketika dunia menyaksikan sesetengah bangsa membuat keputusan unilateral untuk mengenakan tindakan menghukum (ke atas pihak lain), Malaysia dan negara-negara lain perlu waspada bahawa perkara yang sama boleh dikenakan ke atas salah seorang daripada kita," kata Mahathir.
"Saya telah mencadangkan supaya kita kembali mempertimbangkan idea penggunaan dinar emas dan sistem barter di dalam perdagangan di antara kita," katanya.
"Kami serius meneliti perkara ini dan kami berharap kami dapat mencari mekanisme untuk melaksanakannya."
Perdana menteri itu berkata beliau telah mencadangkan alternatif kepada dolar Amerika Syarikat untuk perdagangan lama dahulu, tetapi menambah dengan mengatakan bahwa usaha ke arah itu sering terhalang oleh kuasa besar dunia.
Terdahulu, Presiden Iran Hassan Rouhani telah mencadangkan penggunaan cryptocurrency di kalangan negara-negara Islam sebagai alternatif kepada dolar A.S.
Cadangan beliau untuk mempertimbangkan mata wang alternatif bukanlah sesuatu yang asing dari dirinya. Malaysia pada tahun 2002 pernah menggesa untuk menggunakan dinar emas dalam perdagangan di kalangan negara-negara Islam. -Press TV
21 Disember 2019 - 18:00
News ID: 995369
Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad berkata bahawa Iran, Malaysia, Turki dan Qatar sedang mempertimbangkan penggunaan dinar emas dan barter sebagai satu kaedah untuk melindungi diri mereka daripada sebarang bentuk sekatan ekonomi pada masa depan.