Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Bernama
Rabu

29 Januari 2020

7:27:20 PTG
1006328

Jumlah Tentera AS Alami Kecederaan Otak Bertambah

Jumlah tentera yang didiagnosis dengan kecederaan otak disebabkan serangan peluru berpandu balistik Iran, semakin bertambah, kata Pentagon pada Selasa lapor agensi berita Anadolu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Jumlah tentera yang didiagnosis dengan kecederaan otak disebabkan serangan peluru berpandu balistik Iran, semakin bertambah, kata Pentagon pada Selasa lapor agensi berita Anadolu.

Serangan ke atas pangkalan udara Iraq itu berlaku pada 8 Januari lalu.

"Setakat hari ini, 50 anggota telah didiagnosis dengan TBI," kata jurucakap Jabatan Pertahanan Leftenan Kolonel Thomas Campbell dalam satu kenyataan.

Daripada jumlah itu, seramai 31 orang dirawat di Iraq dan telah bertugas semula, termasuk 16 anggota perkhidmatan tambahan yang telah didiagnosis sejak laporan sebelum ini, kata Campbell

"Seramai 18 anggota perkhidmatan telah dibawa ke Jerman untuk rawatan lanjut," katanya.

Minggu lepas, Pentagon mendedahkan jumlah yang cedera seramai 34 orang.

Pada mulanya Presiden Donald Trump berkata, tiada tentera yang cedera dalam serangan udara Iran itu, yang dilancarkan sebagai tindak balas kematian komander tertinggi tentera elit Iran Jeneral Qassem Soleimani.

Berdasarkan maklumat yang telah dikemas kini beberapa hari kemudian, Pentagon mendedahkan 11 anggota tentera telah didiagnosis mengalami kecederaan otak.

Mengulas mengenai laporan di Davos, Switzerland awal minggu ini, Trump berkata, beliau dengar mereka sakit kepala dan beberapa sakit lain serta menyifatkan ia tidak terlalu serius.

Soleimani terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad, meletakkan Washington dan Tehran berada di ambang peperangan. - Bernama