Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Ahad

27 September 2020

3:08:44 PTG
1073934

Hakim Akan Putuskan Larangan Trump Muat Turun TikTok

Hakim akan memutuskan pada Ahad sama ada membenarkan larangan pentadbiran Trump untuk memuat turun aplikasi perkongsian video popular TikTok.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Hakim akan memutuskan pada Ahad sama ada membenarkan larangan pentadbiran Trump untuk memuat turun aplikasi perkongsian video popular TikTok.

Hakim Daerah AS Carl Nichols juga berjanji akan mempertimbangkan permintaan TikTok untuk menyekat perintah presiden sebelum dikuatkuasakan pada jam 11:59 malam Ahad (0359 GMT Isnin).

Hakim di ibu negara AS itu meneliti dakwaan pentadbiran Trump bahawa TikTok yang dimiliki China menimbulkan ancaman keselamatan terhadap negara, seiring dengan penafian syarikat itu dan dakwaannya bahawa walaupun ia larangan sementara tetapi dapat membahayakan sehingga tidak dapat diperbaiki.

Jabatan Kehakiman AS dan peguam TikTok bersetuju untuk memfailkan penjelasan 'di bawah meterai', tidak tersedia untuk tatapan umum, bagi mengelak mendedahkan keselamatan negara dan maklumat perniagaan sulit.

TikTok, yang dimiliki syarikat ByteDance dari China, mengatakan dalam petisyen awalnya bahawa larangan sementara akan 'menimbulkan bahaya yang buruk dan tidak dapat diperbaiki' terhadap perkhidmatan itu.

Sehingga campur tangan pentadbiran, TikTok adalah antara paling cepat berkembang di AS dan pertumbuhan pesat yang berterusan diperlukan untuk mengekalkan kedudukan pasarannya yang kompetitif," menurut TikTok.

TikTok mempunyai kira-kira 100 juta pengguna di AS dan 700 juta di seluruh dunia, menjadikan ia antara aplikasi yang terbesar di platform media sosial.

Larangan itu tidak hanya akan mengakibatkan hilang pendapatan tetapi juga menimbulkan 'bahaya luar biasa pada reputasi dan muhibah (TikTok) sehingga tidak mungkin hubungan ini dapat diselamatkan meskipun jika larangan itu ditarik," hujah peguam syarikat.

"Larangan cuma akan menyebabkan pangkalan pengguna kami berhenti dan kemudian merosot secara tiba-tiba," kata ketua interim TikTok, Vannesa Pappas.

Beliau berkata sehingga 1 Julai, ketika desas-desus larangan mula tersebar, TikTok menambah sekitar 424,000 pengguna baharu di AS setiap hari.

Petisyen TikTok juga mencetuskan spekulasi bahawa Trump membalas dendam berikutan laporan mengenai pengkritiknya yang menggunakan aplikasi itu untuk merampas tiket ke perhimpunan kempen di Tulsa, Oklahoma.

Detik itu adalah peristiwa yang menjatuh dan memalukan presiden, apabila sedikit sahaja orang yang hadir di acara dihadiri Trump.

Hakim Nichols pada sidang telefon pada Khamis menyatakan beliau tidak bersetuju dengan tuntutan peguam kerajaan bahawa larangan yang tidak segera menghalang pengguna TikTok tetapi mencegah muat turun oleh pengguna baharu 'hanya menjadi status quo'.

Menurut penganalisis, sebarang larangan boleh menghalang pengguna memuat turun, kemas kini dan pembaikan keselamatan untuk TikTok. - AFP