Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : www.bharian.com
Rabu

25 Mei 2022

9:17:37 PTG
1260956

Biden tandatangani perintah eksekutif berkaitan pembaharuan polis

WASHINGTON: Dua tahun selepas warga Afrika Amerika (AS), George Floyd dibunuh oleh seorang pegawai polis kulit putih di jalan Minneapolis, Presiden AS, Joe Biden hari ini dijadual menandatangani perintah eksekutif yang mengawal selia penguatkuasaan undang-undang persekutuan.

Rumah Putih dalam kenyataannya menyifatkan tindakan itu sebagai bersejarah, namun perintah eksekutif baharu itu tidak setakat reformasi besar polis yang dijanjikan Biden ketika kempen pilihan raya.

Katanya, kandungan perintah itu memperuntukkan ruangan bagi daftar kebangsaan untuk menyenaraikan semua laporan, prosedur tatatertib dan aduan berkaitan anggota agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan.

Menurut teks perintah itu, pihak berkuasa tempatan dan negeri-negeri AS, yang diberi kuasa luas dalam hal-hal penguatkuasaan undang-undang, digalakkan untuk turut mendaftar dan bersedia untuk sebarang rundingan.

Perintah itu juga melarang penggunaan, sekali lagi di peringkat persekutuan, 'carotid artery strangulation' atau teknik menekan, kecuali dalam situasi yang luar biasa.

Ia juga mengehadkan keupayaan penguatkuasa undang-undang untuk memasuki hartanah tanpa amaran sewajarnya, dasar kontroversi yang dikenali sebagai 'tiada ketukan'.

Pentadbiran Biden juga akan meminta agensi penguatkuasa undang-undang persekutuan memperluaskan penggunaan kamera badan ketika penangkapan dan pencarian serta mengeluarkan imej dengan cepat sekiranya berlaku kematian.

Perintah itu juga menyatakan bahawa kekerasan maut hanya boleh digunakan apabila perlu disamping menyekat sebarang penggunaan peralatan tentera ketika operasi polis.

Tarikh pemeteraian perintah itu cukup simbolik, tepat dua tahun selepas kematian Floyd, yang mencetuskan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara bagi menentang perkauman dan kekejaman polis.

Pegawai kanan Rumah Putih turut memaklumkan, Biden akan menandatangani perintah eksekutif itu dengan kehadiran ahli keluarga Floyd, keluarga mangsa kekejaman polis lain serta pegawai penguatkuasa undang-undang.

Floyd meninggal dunia akibat sesak nafas selepas seorang pegawai polis bertindak menekan lutut sehingga ke lehernya selama lebih sembilan minit.

Biden sudah menjanjikan pembaharuan dalam polis sepanjang kempennya sebelum ini, biarpun perintah eksekutif membenarkan beliau melaksanakannya tanpa sebarang Rang Undang-Undang (RUU) melalui Kongres, di mana parti Demokrat diwakilinya tidak memiliki majoriti mencukupi.

342/