Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Sabtu

3 Disember 2022

6:34:23 PTG
1328345

Palestin gesa PBB laksanakan inisiatif keamanan di Asia Barat

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye, semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan inisiatif keamanan di Asia Barat bagi menamatkan konflik dengan Israel.

Ishtaye membuat kenyataan itu pada mesyuarat maya anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia Barat (ESCWA) di ibu pejabat PBB di New York sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, menurut laporan Xinhua.

Beliau turut menggesa negara anggota PBB supaya menyokong permohonan Palestin untuk mendapatkan keahlian penuh dalam pertubuhan antarabangsa itu, memberi tekanan kepada Israel bagi membenarkan pilihan raya umum diadakan di Palestin, dan meminta Israel bertanggungjawab atas jenayah dilakukannya terhadap rakyat Palestin.

Palestin mahu menubuhkan sebuah negara merdeka bersama Israel di wilayah Palestin yang diduduki Israel pada 1967, termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengulangi pendirian PBB berhubung penyelesaian dua negara, pada Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, Selasa lalu.

"Pendirian PBB jelas: keamanan mesti diteruskan, pendudukan mesti ditamatkan. Kami teguh dalam komitmen kami untuk merealisasikan visi dua negara – Israel serta Palestin – hidup berdampingan dalam keadaan aman dan selamat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara," katanya dalam satu mesej.

342/