Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com.my
Jumaat

27 Januari 2023

8:35:40 PTG
1341535

Tentera Israel, pejuang Palestin berbalas tembakan di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Pejuang Palestin melepaskan roket dan Israel melancarkan serangan balas udara ketika ketegangan memuncak berikutan serbuan Israel di Tebing Barat yang mengorbankan 10 penduduk Palestin.

Mangsa serbuan terbaru yang disifatkan paling ganas dalam tempoh dua dekad itu termasuk sekurang-kurangnya tujuh pejuang Palestin dan seorang wanita warga emas, Magda Obaid,61.

Keganasan yang meletus menjadi ujian awal bagi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika menantikan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, ke wilayah itu minggu depan.

Pejuang Hamas menembak lima roket ke Israel tetapi tiga berjaya dipintas, satu jatuh di kawasan lapang dan satu lagi jatuh di dalam Gaza.Serangan maut semalam di kem pelarian Jenin mungkin mencetuskan protes besar-besaran pada hari ini ketika rakyat Palestin berkumpul selepas menunaikan solat Jumaat, seperti mana dilakukan setiap minggu.

Hamas sebelum ini mengancam membalas serangan atas serbuan itu dan sudah mula melancarkan tembakan roket manakala tentera Israel turut berjaga-jaga ketika rakyat Palestin memenuhi jalanan di seluruh Tebing Barat, melaungkan solidariti bersama Jenin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengisytiharkan tiga hari berkabung, dan di kem pelarian, penduduk menggali kubur besar untuk mengebumikan jenazah mereka yang meninggal dunia.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Nabil Abu Rudeineh, berkata Abbas memutuskan untuk menamatkan penyelarasan keselamatan berikutan pencerobohan berulang terhadap rakyatnya.

Beliau juga berkata, rakyat Palestin merancang untuk memfailkan aduan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan badan antarabangsa lain.

Barbara Leaf, diplomat tertinggi AS untuk Timur Tengah, berkata pentadbiran Biden amat mengambil berat pergolakan itu dan menyesali serta bersimpati dengan orang awam yang terkorban di Jenin.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman Palestin untuk menamatkan hubungan keselamatan dan membawa isu itu ke pertubuhan antarabangsa lain adalah satu kesilapan.

Serbuan tentera Israel meninggalkan jejak kemusnahan di Jenin termasuk sebuah bangunan dua tingkat menjadi sasaran utama operasi, musnah terbakar.

Menteri Kesihatan Palestin, May Al-Kaila berkata paramedik bergelut bagi menyelamatkan mangsa yang cedera semasa pertempuran, manakala Gabenor Jenin, Akram Rajoub, berkata tentera menghalang pekerja kecemasan memindahkan mangsa.

Kedua-duanya menuduh tentera melepaskan gas pemedih mata ke arah wad kanak-kanak sebuah hospital, menyebabkan kanak-kanak terhidu asap.

Tentera berkata, pasukan menutup jalan untuk membantu operasi itu, yang mungkin merumitkan usaha menyelamat, dan gas pemedih mata berkemungkinan tersilap lontar ke hospital ketika pertempuran.

Kumpulan hak asasi Israel B'Tselem berkata satu-satunya pencerobohan Tebing Barat paling berdarah sejak 2002, adalah pada kemuncak gelombang keganasan yang sengit dikenali sebagai Intifada Kedua, atau pemberontakan Palestin, meninggalkan parut yang masih kelihatan di Jenin.

Utusan Timur Tengah di PBB, Tor Wennesland, berkata beliau sangat cemas dan sedih dengan keganasan itu.

Kecaman datang daripada Pertubuhan Kerjasama Islam dan Turkiye, yang baru-baru ini menjalin semula hubungan diplomatik penuh dengan Israel.

Negara jiran Jordan, serta Arab Saudi dan negara Teluk lain turut mengutuk serbuan Israel. 


342/