Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Ahad

5 November 2023

6:19:33 PTG
1408862

'Maaf tak dapat hadir, terima kasih atas segala-galanya'

KUALA NERUS: "Walaupun sedih kerana keluarga tidak dapat bersama meraikan kejayaan ini, saya menguatkan semangat naik ke pentas menerima skrol," kata graduan ijazah doktor falsafah (PhD) dari Palestin, Hanan Kamel Mohammed Saad.

Hanan Kamel, 51, ialah antara 3,608 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Ke-15, di sini, hari ini. Menceritakan nasib keluarganya, Hanan Kamel berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan mereka di Gaza adalah semalam melalui media sosial. "Keluarga sempat mengucapkan tahniah, semalam, namun sedih kerana mereka tidak dapat bersama meraikan kejayaan, hari ini."Perasaan saya bercampur baur... gembira kerana berjaya menamatkan pengajian di Fakulti Sains Kesihatan tetapi pada masa sama sedih mengenangkan nasib keluarga di Gaza. Saya berharap mereka dilindungi Allah SWT," katanya. Hanan Kamel berkata, beliau hanya mampu berbalas pesanan ringkas dengan keluarga berikutan talian Internet yang lemah dan kerap terputus. Beliau berkata, serangan bertalu-talu oleh rejim Israel menjadikan situasi di Gaza sangat buruk dan tiada tempat yang selamat untuk penduduk. "Ramai penduduk di sana bukan saja kehilangan ahli keluarga, malah juga hilang tempat tinggal akibat tindakan Israel mengebom Gaza. "Saya bersyukur kerana keluarga masih berada di tempat selamat, dan berharap mereka terus bertahan. Saya hanya mampu berdoa supaya keganasan ini dapat dihentikan dan rakyat Palestin memperoleh kebebasan," katanya yang merancang untuk mencari kerja di Malaysia buat masa ini. Seorang lagi graduan PhD dari Palestin, Saber T R Syouri, 50, bagaimanapun terpaksa melupakan hasrat menghadiri majlis konvokesyen itu kerana sedang berada di tanah air. Graduan dari Fakulti Informatik & Komputeran itu sekali gus memohon semua pihak mendoakan keselamatannya dan rakyat di Gaza. "Saya meminta maaf kerana tidak dapat hadir bersama-sama graduan lain pada majlis istimewa ini, kerana situasi di Gaza pada saat ini begitu bahaya. "Justeru, saya mahu berterima kasih atas segala-galanya. Terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA. Terima kasih kepada semua," katanya melalui tayangan video pada majlis konvokesyen itu.


342/