Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Rabu

15 November 2023

8:49:26 PTG
1412009

Tentera Israel gagal buktikan ada terowong bawah hospital

SEMENANJUNG GAZA: Tentera Israel menyerbu hospital terbesar di Gaza hari ini kerana mendakwa ada terowong bawah bangunan itu dijadikan pusat pejuang Hamas.

Hospital Al Shifa menerima ribuan pesakit dan orang awam yang mencari perlindungan daripada konflik sejak lima minggu lalu. Puluhan askar Israel yang memakai topeng muka melepaskan tembakan ke udara dalam operasi di dalam kemudahan kesihatan itu. Seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan Palestin, Youssef Abu Rish yang berada di dalam Hospital Al Shifa itu berkata, dia dapat melihat kereta kebal berada di dalam kompleks hospital dan puluhan askar dan komando berada di bahagian kecemasan serta kaunter dalam bangunan terbabit.Tentera Israel menyifatkan itu sebagai operasi yang tepat dan disasarkan terhadap Hamas di kawasan tertentu dalam kemudahan itu. Pejuang Palestin bagaimanapun berulang kali menafikan mempunyai pangkalan di hospital berkenaan. Menurut Al Jazeera, tentera Israel masih gagal membuktikan dakwaannya ada terowong dan kemudahan pejuang Hamas di bawah Hospital Al Shifa. Selepas menerima desakan dari Amerika Syarikat dan negara lain Hospital Al-Shifa mesti dilindungi, Israel berkata, serbuan itu dilaksanakan berdasarkan keperluan operasi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 2,300 orang termasuk pesakit, kakitangan dan orang awam yang dipindahkan berada di dalam bangunan berkenaan dan mungkin tidak dapat melarikan diri kerana pertempuran sengit. Saksi menyifatkan keadaan di dalam hospital sebagai mengerikan dengan prosedur perubatan berlaku tanpa ubat bius, keluarga tinggal di koridor dengan makanan serta air yang sedikit dan bau busuk mayat yang mereput memenuhi ruang udara. "Terdapat mayat bergelimpangan di kompleks hospital dan tiada lagi bekalan elektrik di bilik mayat," kata Pengarah Hospital, Mohammad Abu Salmiya semalam, sebelum serbuan dilakukan Israel seperti laporan AFP. Sementara itu REUTERS melaporkan, seorang doktor di hospital berkenaan memaklumkan tembakan yang berlaku di luar perkarangan bangunan itu memaksa kakitangannya menjauhkan diri dari tingkap, demi menjaga keselamatan mereka daripada rejim Zionis berkenaan. Tindakan menyasarkan hospital awam itu mendapat perhatian Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan menggesa supaya tentera Israel untuk melakukan sekatan secara maksimum dan pembunuhan membabitkan wanita, kanak-kanak dan bayi harus dihentikan. - AGENSI


342/