Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Isnin

27 November 2023

8:08:23 PTG
1415434

'Kelegaan besar' bantuan kemanusiaan PBB ke utara Gaza dipertingkat

GENEVA: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kumpulan bantuan terbesar sedang menunggu giliran membawa masuk kontena penghantaran ke utara Gaza dalam tempoh lebih sebulan.

Beliau, yang terbabit dalam konvoi bantuan kemanusiaan itu, berkata sebaik bekalan tiba, penduduk setempat yang keletihan terus meluru ke kontena membawa air untuk minum bagi menghilangkan kehausan.

Sebelum gencatan senjata empat hari antara Israel dan Hamas dimeterai Jumaat lalu, agensi PBB menyuarakan kebimbangan terhadap penyakit dan dehidrasi di utara Gaza.

Ini kerana wilayah terbabit terputus daripada bantuan luar selama berminggu-minggu akibat tidak dapat bergerak berikutan terkepung disebabkan perang Israel-Hamas.PBB sebelum ini berkata, pihaknya tidak memperoleh laluan selamat dan kumpulan perubatan seperti Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang masih bertahan turut diserang dan berada dalam keadaan tidak selamat di sana. James Elder daripada Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), menyuarakan rasa lega yang luar biasa apabila melihat penduduk setempat mendapat bantuan makanan. "Orang ramai sangat terdesak dan anda boleh lihat sendiri individu dewasa tidak makan, kanak-kanak kelihatan semakin kurus. "Kini, orang ramai mula dapat minum. Mereka sangat dahaga selepas menahan kehausan selama berhari-hari," kata kepada Reuters melalui pautan video dari selatan Gaza selepas kembali dari Bandar Gaza. Elder adalah antara yang menyertai konvoi lima trak semalam bersama agensi PBB lain bagi menghantar biskut bertenaga tinggi, pil vitamin untuk kanak-kanak serta kit perubatan. Bantuan boleh dibawa masuk ke utara wilayah yang dikepung Israel susulan gencatan senjata sementara bagi membolehkan sebilangan tawanan dibebaskan sejak Jumaat. Menurut Elder, bantuan itu dibawa ke hospital untuk sebelum ia diagihkan. Dalam pada itu, beliau menggambarkan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecederaan termasuk melecur dan luka, terbaring lesu di katil hospital dalam keadaan trauma. "Bagaimana penghantaran boleh lagi dibuat jika peperangan berterusan dan perang terhadap kanak-kanak ini berterusan," katanya. Walaupun penghantaran bantuan dilakukan di utara, Elder berkata, beratus-ratus penduduk Gaza menuju ke arah lain, takut Israel kembali meneruskan pengeboman jika gencatan senjata empat hari berakhir. "Orang ramai sangat takut bahawa gencatan senjata ini tidak akan diteruskan," katanya. 

342/