Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Sabtu

16 Disember 2023

2:20:06 PTG
1420799

Hamas ubah jalan di Gaza jadi perangkap maut bagi tentera Israel

BAITULMAQDIS: Jumlah kematian tentera rejim Israel di Gaza dilaporkan meningkat kepada hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding ketika serangan darat sama dilancarkan pada 2014.

Ia didorong oleh taktik gerila dilakukan pejuang Hamas dan penggunaan senjata yang lebih canggih oleh mereka.

Tiga pihak membabitkan pakar ketenteraan Israel, komander Israel dan sumber Hamas menggambarkan 'kejayaan' kumpulan pejuang Palestin itu adalah disebabkan mereka kini memiliki simpanan senjata lebih besar.

Mereka juga memiliki pengetahuan luas berhubung geografi bumi dan rangkaian terowong yang luas untuk menjadikan jalan di Gaza sebagai laluan berselirat penuh perangkap bagi tentera Israel.

Kekuatan Hamas juga kini ditambah dengan senjata dron, bom tangan dan senjata anti-kereta kebal.

Berdasarkan angka rasmi Israel, sejak peperangan bermula pada penghujung Oktober, kira-kira 110 askar Israel terbunuh ketika kereta kebal dan infantri disasarkan ke bandar dan kem pelarian, dengan kira-kira 25 peratus mangsa adalah kru kereta kebal.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 66 kematian direkodkan dalam konflik 2014, apabila Israel melancarkan pencerobohan selama tiga minggu, tetapi matlamatnya ketika itu bukan untuk menghapuskan Hamas.

Bekas jeneral kanan Israel dan bekas penasihat keselamatan negara yang kini berada di Institut Yahudi untuk Keselamatan Negara Amerika (JINSA), Yaacov Amidror, berkata perang sekarang tidak boleh dibandingkan dengan 2014.

Ini kerana tentera Zionis sekarang kebanyakannya beroperasi tidak lebih dari satu kilometer (km) di dalam Gaza.

"Tentera belum menemui penyelesaian baik untuk (menakluki) terowong itu, rangkaian yang berkembang pesat sejak sedekad lalu," katanya.

342/