Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ابنا
Sabtu

27 Januari 2024

12:05:31 PTG
1432802

MAIWP pastikan bantuan diterima golongan layak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata terdapat individu-individu yang telah terkeluar daripada kategori asnaf, tetapi terus menerima bantuan zakat tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sepatutnya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA): Proses pemutihan akan terus dilaksanakan bagi memastikan bantuan zakat bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hanya dapat disalurkan kepada individu selayaknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata terdapat individu-individu yang telah terkeluar daripada kategori asnaf, tetapi terus menerima bantuan zakat tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sepatutnya.

“Kalau ikutkan MAIWP, proses pemutihan ini dilakukan secara berterusan, cuma arahan Kabinet berdasarkan program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri dua minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah arahkan agar proses pemutihan ini dilaksanakan oleh semua institusi zakat.

“Jadi berdasarkan arahan ini, MAIWP pula akan segerakan proses pemutihan yang sedang kita laksanakan, dengan adanya pemutihan ini bantuan dapat diberikan kepada mereka yang selayaknya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Program Ziarah Asnaf Siri 1/2024 dan Penyerahan Sumbangan Ambulans Kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur (BSMMKL) di sini hari ini.

Dalam masa itu, bagi memastikan kebajikan golongan asnaf khususnya yang berada di bandar mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar ketika ini, MAIWP akan meningkatkan kadar bantuan bulanan yang akan diumumkan Jun depan.

“MAIWP sebelum ini telah menjalankan semakan semula terhadap kadar zakat yang diberikan dan kita juga sudah naikkan kadarnya, tetapi Jun depan kadar yang baharu akan diumumkan,” katanya.

Mengenai Ziarah Asnaf, Mohd Na'im berkata program itu akan diadakan setiap bulan bagi memberi peluang kepadanya untuk menyantuni asnaf penerima bantuan MAIWP serta memastikan kebajikan dan keperluan golongan berkenaan terjaga.

“Melalui program turun padang seperti ini, kita dapat jumpa golongan susah yang diuji Allah SWT dengan ujian kesihatan, kewangan dan sebagainya, selain memberikan motivasi kepada mereka, saya turut berpeluang mendoakan mereka disamping memaklumkan mengenai bantuan-bantuan baharu yang ada.

“Contohnya seorang daripada asnaf yang kita santuni tadi, dia tidak tahu pun mengenai e-dompet RM300 yang diberikan MAIWP. Dalam ziarah hari ini juga, kita akan minta pegawai pusat kesihatan berdekatan untuk lawat ke rumah seorang daripada asnaf dan berikan surat perubatan berkaitan keadaan anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya lagi.

Ziarah Asnaf hari ini melibatkan tiga rumah di Perumahan Awam Seri Selangor dengan menyantuni Mohamad Fazlim Sha’ri, Jamsiah Mohd Said dan Mohamad Fadli Dahalim.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata MAIWP sehingga kini ini telah menyalurkan RM620,000 kepada Pertubuhan Kumpulan Sokongan Komuniti Sejahtera (K2S) melalui Bantuan Penubuhan Pusat Fisioterapi MAIWP bagi membolehkan golongan asnaf dan B40 yang terlibat kemalangan atau selepas menjalani pembedahan mendapatkan rawatan fisioterapi percuma.