Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

9 Disember 2019

1:12:32 PTG
992557

Bekas Wartawan Dedah Newsweek Tutup Cerita Serangan Kimia Di Syria

Seorang wartawan dari penerbitan Newsweek telah meletakkan jawatannya selepas media yang berpusat di Amerika Syarikat itu enggan menerbitkan artikelnya yang mempersoalkan hasil siasatan -yang disokong oleh Barat- berkaitan dengan sumber serangan kimia di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang wartawan dari penerbitan Newsweek telah meletakkan jawatannya selepas media yang berpusat di Amerika Syarikat itu enggan menerbitkan artikelnya yang mempersoalkan hasil siasatan -yang disokong oleh Barat- berkaitan dengan sumber serangan kimia di Syria.

Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) pada bulan April lalu telah menerbitkan sebuah laporan yang mendakwa bahawa kerajaan Syria telah melancarkan serangan kimia ke atas bandar Douma.

Amerika Syarikat, Britain dan Perancis kemudiannya telah menggunakan laporan itu sebagai alasan untuk melancarkan serangan peluru berpandu yang menyasarkan sebuah fasiliti penyelidikan yang terletak berhampiran dengan bandar Damsyik dan Homs.

Wartawan bernama Tareq Haddad mengemukakan peletakan jawatannya pada hari Jumaat selepas editor-nya menolak untuk menerbitkan artikelnya yang menyentuh perihal e-mel dalaman OPCW yang telah mendedahkan ketidaksepadanan di antara penemuan sebenar di lapangan oleh pakar-pakar organisasi itu dan laporan akhir badan pengawas (senjata) kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Saya pada hari semalam telah melepaskan jawatan saya di Newsweek selepas usaha saya untuk menerbitkan pendedahan baru berkaitan e-mel OPCW yang dibocorkan telah ditolak tanpa sebarang sebab yang sah," kata Haddad pada hari Sabtu.

E-mel yang dihantar oleh ahli OPCW didedahkan oleh WikiLeaks pada akhir bulan November. Di dalam komunikasi dalaman OPCW itu, penyiasat berkaitan menuduh bahawa badan pengawas PBB tersebut telah mengubah hasil siasatan kumpulan penyiasat yang telah melawat Douma sendiri.

Penulis e-mel tersebut telah menolak laporan yang dianggap sebagai "sangat mengelirukan dan tidak disokong oleh fakta" apabila OPCW mendakwa bahawa mereka memiliki "bukti yang mencukupi" untuk mengenalpasti klorin yang digunakan di dalam serangan itu .

Sementara itu, Haddad berkata bahawa dia juga diancam dengan tindakan undang-undang selepas bertanya daripada editor-nya berkaitan alasan penolakan mereka untuk tidak menyiarkan artikelnya.

"Saya telah mengumpulkan bukti tentang bagaimana mereka menyimpan berita itu selain daripada kes-kes lain -di mana terdapat fakta yang merumitkan kerajaan A.S- telah ditolak (daripada disiarkan) di sebalik kesahihan faktanya," katanya. -Press TV