Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sepatutnya secara sukarela harus memerintahkan penarikan keluar tentera negara beliau dari Iraq sebelum mereka dipaksa untuk berbuat demikian, kata seorang pegawai kanan dari Unit Mobilisasi Popular Iraq (PMU) yang lebih dikenali dengan Hashd al-Sha'abi.
"Pada hari ini, semua warga Iraq, tidak kira lelaki atau wanita telah turun secara beramai-ramai ke jalan raya untuk menghantar satu mesej yang jelas kepada seluruh dunia: Tidak ada tempat untuk pasukan asing bumi Iraq. Terima kasih kepada semua rakyat Iraq yang menghormati seruan untuk menghadiri demonstrasi dan mengambil bahagian di dalamnya. Terima kasih kepada sokongan yang ditawarkan oleh ahli politik, tokoh kaum, ahli akademik serta wartawan," kata Qais al-Khazali, ketua pasukan Asa'ib Ahl al-Haq yang merupakan sebahagian daripada PMU dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Jumaat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ulama terkemuka Iraq, Muqtada al-Sadr yang mula-mula menyeru warga Iraq untuk menyertai protes yang menuntut pengakhiran kehadiran pasukan A.S di negara tersebut.
"Bagi Trump yang dungu, (ketahuilah,) perarakan sejuta orang itu telah menyampaikan sebuah mesej yang jelas: Jika anda tidak keluar secara sukarela anda layak mendapat sepakan di muka," kata pemimpin PMU tersebut.
Pada 5 Januari lepas, parlimen Iraq mengundi secara terbuka untuk meluluskan sebuah resolusi yang menyeru pengusiran semua pasukan asing selepas pembunuhan Jeneral Iran Qassem Soleimani dan rakannya dari Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis di tangan A.S.
Isu itu terus mendapat momentumnya selepas Muqtada al-Sadr menggesa warga Iraq untuk turun ke jalan raya secara beramai-ramai dalam menuntut pengunduran tentera A.S dari negara Arab itu.
Sadr pada hari Jumaat juga mengeluarkan kenyataan yang menyeru penutupan pangkalan A.S. Beliau turut menggesa pihak terbabit untuk menutup ruang udara Iraq daripada kesemua pesawat tentera A.S. -Agensi