21 Disember 2015 - 06:37
Zionis bimbang tindak balas Nasrullah

Media sedang menunggu reaksi daripada Hasan Nasrullah berhubung pembunuhan Samir Qantar

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Meskipun gerakan Zionis bergembira dengan kematian pejuang lagenda Lubnan Samir Qantar, namun penduduk Israel kini dihantui perasaan cemas menunggu detik-detik tindak balas daripada Setiausaha Agung Hizbullah, Hasan Nasrullah.

Hasan Hijazi, ketua editor al-Manar berkata, pihak Israel enggan mengeluarkan pernyataan rasmi berhubung serangan pesawatnya terhadap kedudukan Samir Qantar di Syria kerana bimbang mendapat reaksi keras daripada pejuang Hizbullah. Beliau menegaskan, semua mata sedang menumpukan perhatian kepada jawapan Hasan Nasrullah.

"Para penganalisa Israel berkata, sepanjang hari Tel Aviv menanti pendirian Hasan Nasrullah mengenai tindakan daripada pihak Hizbullah.

"Pihak berkuasa Israel mengelak dari mengaku bertanggung jawab untuk memberi masa kepada pihak di sana (pejuang) memikirkan pilihan bertindak balas yang diperhitungkan," kata Hijazi dalam liputan siaran langsung di televisyen al-Manar.

"Menurut para pengulas Israel, Israel sekarang menafikan sebarang penglibatan kerana pengakuan secara langsung boleh membawa kepada tindak balas yang keras dan wajar.

"Menurut Zionis, Qantar adalah simbol perjuangan Lubnan, Palestin dan Syria ketika menentang Israel. Beliau amat dikenali kerana terlibat dalam operasi Nahariya pada tahun 1979. Kemudian kemasyhuran beliau terserlah apabila dibebaskan selepas perang 33 hari Israel - Lubnan yang berpunca dari penangkapan dua tentera Israel dan pembunuhan 8 yang lain. Beliau dikenal kerana dituduh memainkan peranan dalam membuka barisan baru di Golan menentang entiti Zionis. Samir Qantar mewakili jalan moqawama," ujar beliau.

Sementara itu Jurusalem Post melaporkan para pegawai Israel memuji berita pembunuhan Samir Qantar pada pagi Ahad lalu di Jaramana. Menteri Perumahan Yoav Gallant berkata dalam radio Israel, "Adalah lebih baik jika orang seperti Samir Qantar tidak menjadi sebahagian dari dunia kita."