KOTA KINABALU: Kira-kira 50 pengikut kumpulan ajaran sesat Millah Abraham dikenal pasti berada di Sabah dengan kebanyakannya di Tuaran, Sandakan, Tawau dan sekitar ibu negeri.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer, berkata jumlah itu termasuk ahli keluarga mereka. Beliau berkata, sebahagian pengikut kumpulan berkenaan membabitkan golongan profesional dan semi-profesional dengan kebanyakannya adalah belia.
"Memang ada kumpulan ini di Sabah dan kami sedang menghalusi serta bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan yang komprehensif.
"Kita juga mendapat tahu kumpulan ini ada perkampungan di Tuaran, Sandakan, Tawau dan sebahagiannya di Kota Kinabalu. Mereka turut didakwa mempunyai tanah di Tuaran dan kita sedang menyiasat perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perbarisan sempena sambutan Hari Polis Ke-209 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, di sini, pagi tadi.
Awang Sahari berkata, polis turut menyiasat kemungkinan pengikut kumpulan itu di Sabah terbabit dalam kegiatan pengganas termasuk militan IS.
Katanya, ketika ini pihaknya belum mengenal pasti ketua kumpulan itu atau menahan mana-mana individu di Sabah tetapi siasatan sedang dijalankan untuk mengesan aktiviti mereka.
"Setakat ini, siasatan terhadap kumpulan berkenaan adalah untuk membantu pihak JAWI kerana mereka melakukan aktiviti yang bercanggah dengan akidah Islam," katanya.