STOCKHOLM: Bekas isteri pemimpin militan IS, Abu Bakr al-Baghdadi, yang memiliki seorang anak perempuan, mahu tinggal di Eropah "untuk kebebasan", katanya kepada akhbar harian Sweden, Expressen dalam satu temuramah disiarkan hari ini.
"Saya mahu tinggal di negara Eropah, bukan Arab," kata Saja al-Dulaimi dalam temuramah yang dirakam di Lubnan.
Dulaimi dibebaskan beberapa bulan lalu daripada penjara Lubnan, di mana dia ditahan sejak tahun 2014 bersama anaknya kerana disyaki ada kaitan dengan organisasi pengganas.
"Saya digelar seorang pengganas, namun saya jauh daripada anggapan itu. Saya mahu tinggal dalam kebebasan," kata Dulaimi, 28, sambil memuji undang-undang Syariah yang dikatakannya memberi "kebebasan dan hak untuk wanita."
Anak perempuannya, Hagar, tujuh tahun, berkata dia mahu ke Eropah untuk 'belajar." Satu ujian DNA dijalankan pihak berkuasa Lubnan mengesahkan kanak-kanak itu adalah anak al-Baghdadi.
Dilahirkan dalam keluarga kaya di Iraq, Dulaimi berkata dia berkahwin dengan pengawal peribadi Saddam Hussein dan memiliki anak kembar. Selepas menjadi balu, dia berkahwin semula pada tahun 2008, atas nasihat bapanya, dengan al-Baghdadi.
Dulaimi, yang menggambarkan al-Baghdadi, lelaki yang memiliki anak daripada perkahwinan terdahulu, sebagai "lelaki berkeluarga normal" dan profesor universiti yang disayangi anak-anaknya.
Baghdadi ketika itu berjuang bagi pihak Al-Qaeda di Iraq, di mana IS dilahirkan. Pada tahun 2010, dia mengambil alih kepimpinan IS.
Washington meletakkan ganjaran AS$10 juta (RM38.74 juta) kepada Baghdadi. Dulaimi berkata dia meninggalkan lelaki itu hanya selepas tiga bulan berkahwin dan hamil anak perempuan mereka.
"Bagaimana dia menjadi emir (khalifah) organisasi pengganas paling berbahaya di dunia masih satu misteri. Perbualan terakhir kami adalah pada 2009. Dia bertanya jika saya mahu kembali, namun saya sudah membuat keputusan," katanya yang kini berkahwin semula dengan seorang lelaki Palestin, dan memiliki seorang anak. -AFP