ALOR SETAR: Polis Kedah bimbang dengan kedudukan negeri ini yang dikenal pasti menjadi tapak penyemaian atau sarang bagi merekrut anggota baharu militan IS.
Ketuanya, Datuk Zamri Yahya, berkata penyebaran ideologi itu di kawasan pedalaman, bukan sahaja dilakukan melalui usrah agama, tetapi juga menerusi kemudahan internet.
Tanpa mendedahkan lokasi dimaksudkan, beliau berkata, penyebaran ideologi itu kini bukan sahaja melalui kaedah lebih canggih, malah sering berubah dari semasa ke semasa.
"Mereka nampak perjuangan IS untuk menegakkan Islam dan nak mati syahid, menyebabkan tugas polis lebih sukar kerana mereka memang tak takut mati. "Apatah lagi Kedah kini jadi 'hotbed', iaitu lokasi penyemaian teknologi militan yang berubah dari semasa ke semasa dengan menyebar ideologi melalui internet.
Walaupun berada di pedalaman, mereka sanggup ke pusat siber untuk menerima arahan daripada orang atasan," katanya kepada pemberita, Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan penyampaian surat penghargaan, di sini hari ini.
Katanya, daripada 192 tangkapan membabitkan anggota IS di seluruh negara setakat ini, 75 adalah penduduk Kedah, antaranya anggota polis, orang kampung dan pelajar. "Ia termasuk 11 rakyat Kedah yang terbabit dalam serangan bom tangan di sebuah pub di Puchong, Selangor pada 28 Jun lalu," katanya.