Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Selesai Solat Jumaat siang tadi, kira-kira 3,000 orang jemaah masjid al-Shakireen KLCC dan masjid Tabung Haji berarak menuju ke Jalan Tun Razak. Penunjuk perasaan dengan penuh semangat melaung-laungkan slogan "Yasqut Mubarak" (Mubarak turun!) Dan "Yahya al-Sha`ab! "(hidup rakyat!). Beberapa kain rentang antaranya tertera “We march with Egyptians” dan “Down with Mubarak”. Beberapa orang Arab turut kelihatan bergabung dengan penunjuk perasaan ini.
Demonstrasi ini dianjurkan untuk menyatakan kesetiakawanan rakyat Malaysia dengan warga Mesir serta membantah pihak pentadbiran Amerika yang turut campur mempertahankan Hosni Mubarak. Penganjur demonstrasi ini diketuai timbalan Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Salahuddin Ayub dan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohamad Akin. Shamsul Iskandar berjaya menyerahkan memorandum kepada duta Amerika yang mengandungi desakan supaya mereka mengundurkan tentera dari Mesir dan membiarkan warga negara itu menentukan masa depan tanah air mereka sendiri.
Antara pemimpin parti politik pembangkang yang turut serta ialah ahli parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub; ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu dan ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.
Babak demonstrasi ini berakhir dengan tindakan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membubarkan perarakan ini dengan melepaskan tembakan meriam air beberapa minit setelah pihak polis memberi arahan supaya bersurai. OCPD Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman mengesahkan tujuh orang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Sementara itu Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang mengecam PAS dan PKR hari ini kerana mengadakan demonstrasi pada hari kedua sambutan Tahun Baru Cina. Tan menyatakan kekesalannya dan menyifatkan tindakan tersebut tidak menghormati perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia.




