Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Setiausaha Agung Lembaga Pendekatan Antara Mazhab-Mazhab (Taghrib), Ayatullah Muhammad Ali Taskhiri dalam sepucuk suratnya kepada tokoh agama negara-negara Islam, menyeru sokongan penuh para ulama terhadap bangsa-bangsa Muslim yang ditindas di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Pejabat berita Taghrib melaporkan Ayatullah Taskhiri mengesahkan tuntutan demonstrasi aman di negara-negara tersebut adalah digerakkan oleh para ulama. Menurut ulama ini, sikap sebahagian ulama yang tidak menghiraukan revolusi rakyat Bahrain dan bersekongkol dengan regim yang zalim akan menjadi noktah hitam terhadap reputasi mereka.
“Sebagai jawapan terhadap tuntutan damai rakyat Bahrain, gerakan tersebut ditumpas dengan cara yang meyayat hati. Talibarut regim dan penjahat menggunakan kekerasan untuk membunuh, menangkap dan membubarkan gerakan orang awam,” tegasnya.
Dalam pesan yang ditujukan kepada Presiden Organisasi Ulama Muslim Sedunia Syeikh Yusuf Qaradhawi, Ayatullah Taskhiri menyeru beliau agar menyokong umat Muslim dan ditindas di Bahrain dan turut mendesak ulama kontroversi ini mengubah sikapnya. Tambahan beliau, “Kami menyeru Anda untuk mengambil sikap berani dan membanggakan tentang umat yang ditindas tersebut. Permintaan ini kami utarakan demi mengingatkan prinsip-prinsip dasar Organisasi Ulama Muslim Dunia iaitu membela umat Islam yang tertindas.”
Dalam surat berasingan kepada Abdul Aziz Othman al-Tuweijry, Setiausaha Agung Organisasi Pendidikan, Ilmu Pengetahuan dan Budaya Islam (ISESCO), Ayatullah Taskhiri menyatakan bahawa usaha yang berkaitan dengan kesetiakawanan Muslimin, perluasan budaya pendekatan antara mazhab, pengukuhan erat persatuan umat Islam dan larangan menyebarkan fitnah serta konflik mazhab masih terus berlanjutan. Namun apa yang kini digembar gemburkan kononnya konflik mazhab di negara-negara seperti Yaman dan Bahrain, merupakan rancangan dan elemen propaganda untuk tujuan-tujuan yang sudah dapat dibaca. Padahal, protes dan perseteruan itu keseluruhannya adalah motif politik dan akibat dari pengabaian hak-hak rakyat dalam beberapa dekad serta sikap kuku besi terhadap tuntutan mereka.
Pada bahagian akhir suratnya, Ayatullah Taskhiri menulis, “Sebenarnya, saya meyakini bahawa jika hak-hak rakyat kita ditunaikan dengan sepatutnya, dan keadilan kita tegakkan, maka tidak ada lagi peluang bagi tercetusnya perang dan kekerasan seperti itu. Dan ini adalah sebuah keadilan yang harus diwujudkan oleh semua pihak.”