31 Disember 2011 - 20:30

Ketua persatuan Paseban 'Aza-e-Karachi dibunuh pengganas Sepah-e-Sahaba malam tadi. Kematian aktivis Syiah ini sangat melukakan hati pengikut mazhab Syiah di Karachi dan hingga saat ini slogan "Ya Imam Zaman Al-'Ajal, Al'Ajal" masih bergema di kawasan hospital Aghakhan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ketua persatuan Paseban 'Aza-e-Karachi, Askari Ridha dibunuh oleh kumpulan pengganas malam tadi.

Peristiwa pembunuhan berlaku pada pukul 19:00 ketika Askari Ridha sedang bergerak ke arah masjid bersama rakannya, Salman Ali Mahdi. Serangan pengganas Sipah-e-Sahaba terjadi berhampiran simpang empat Golestan, Karachi sehingga menyebabkan beliau menderita kecederaan yang sangat parah.

Pasukan polis bergegas ke tempat kejadian namun penyerang berjaya melarikan diri.

Meskipun tokoh Syiah ini dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan selama dua jam, Askari Ridha meninggal dunia akibat kecederaan parah dengan tiga das tembakan di kepalanya.

Kematian aktivis Syiah ini amat menyayat hati pengikut mazhab Ahlul Bait (a.s) di Karachi dan sampai sekarang ramai yang berkumpul di hospital Aghakhan sambil melaungkan slogan "Ya Imam Zaman Al-'Ajal, Al'Ajal" dan Ya Husain.

Persatuan Paseban Aza aktif memperjuangkan hak kumpulan Azadaran.

Manakala rakan beliau Salman Ali Mahdi turut mendapat kecederaan dan masih dalam keadaan kritikal.

Peristiwa pembunuhan ini terjadi setelah pengganas Sipah-e-Sahaba melancarkan serangan terhadap pengikut mazhab Syiah sepanjang bulan Muharam yang mengadakan majlis kesedihan sempena ulangtahun kesyahidan Imam Husain bin Ali. Kematian Askari Ridha menjadikan bilangan mereka yang dibunuh genap dua puluh orang.