Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Rombongan deligasi dari Lembaga Pendekatan Antara Mazhab menegaskan dialog dan perpaduan merupakan mantik dan arahan al-Qur'an. Mereka berkata demikian dalam sesi dialog bersama wartawan di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia pada hari Isnin lalu.
Rombongan ini terdiri daripada Penasihat Hal Ehwal Dunia Islam bagi pemimpin tertinggi Republik Islam Iran, pengerusi Lembaga Pendekatan Antara Mazhab Ayatullah Ali Taskhiri, duta Iran ke Indonesia dan Penasihat Hal Ehwal Ahlusunnah bagi Presiden Iran Maulawi Ishaq Madani.
Dalam sidang media ini Ayatullah Taskhiri berkata, matlamat utama kedatangan rombongan ini ke Indonesia ialah memperluaskan interaksi dan menyediakan sarana untuk dialog pendekatan antara mazhab.
Menurut Taskhiri lagi, Iran telah berusaha bersungguh-sungguh mengadakan banyak dialog antara agama, budaya dan politik selama tertegaknya republik Islam tersebut. Dengan mengadakan dialog agama bersama penganut agama Kristian dan Yahudi, penubuhan Lembaga Pendekatan Antara Mazhab juga telah mengambil langkah-langkah menyediakan kemudahan dialog mazhab dalam Islam.

Katanya, Republik Islam Iran juga begitu bersungguh-sungguh mengadakan dialog dengan Barat. "Walaupun berniat baik mencari jalan penyelesaian isu nuklear dengan berdialog bersama pihak Barat, malangnya mereka langsung tidak mematuhi prinsip-prinsip umum dalam dialog, mereka sentiasa berhasrat memenuhi kehendak mereka sendiri."
Dalam jawapan yang lain kepada wartawan, Taskhiri menyatakan bahawa sikap mengkafirkan golongan lain merupakan bahaya yang besar kepada perpaduan umat dan ianya bertentangan dengan ajaran Islam dan mantik akal.
Turut hadir dalam sidang media selama tiga jam ini ialah Dr. Iskandar selaku presiden Persatuan Wartawan Muslim, presiden Persatuan Wartawan ASEAN dan 30 pengamal media yang lain.