24 April 2013 - 15:47
Ulama Saudi seru pengganas culik wanita dan kanak-kanak Syiah

Pensyarah jurusan syariah Universiti Islam Muhammad bin Saud di Riyadh berkata, tindakan pengganas menculik wanita dan kanak-kanak dari golongan Syiah boleh mencetuskan ketakutan dan kepanikan dalam hati mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Seorang ulama Arab Saudi meminta pengganas al-Qaeda di Iraq membunuh wanita dan kanak-kanak Syiah untuk mencetuskan kepanikan.

Sa'ad al-Duraihim yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Muhammad bin Saud di Riyadh dalam laman web sosialnya berkata, "Sekiranya mujahidin di Iraq melakukan tekanan dan pembunuhan yang lebih banyak, meskipun dengan cara menculik wanita dan kanak-kanak, sudah tentu (semua firqah Syiah) akan rasa gerun dan panik."

Pernyataan pensyarah jurusan syariah ini telah mengundang banyak kritikan.

Seorang penulis dalam surat khabar al-Madinah berkata, "Allah menjadi saksi bahawa mereka yang paling banyak menjadi punca Islam dicemuh dan diejek bukanlah Yahudi, Kristian dan Zoroaster, bahkan pelampau seperti inilah (Sa'ad al-Duraihim) yang menyeru kepada pembunuhan dan pertumpahan darah."

Penulis bernama Abdullah bin Bakhit dalam surat khabar 'Ukkazh Saudi berkata, "Apabila individu seperti ini membuat pertuduhan tanpa sebarang perhitungan, tidak hairanlah ramai pengganas tinggal di Arab Saudi."

Muhammad al-Umar pula menulis, "Dalam wasiat nenek moyang kita, mereka tidak pernah melakukan tindakan ini."

Penulis yang lain bernama Abdul Aziz al-Zahrani dalam ucapannya kepada al-Duraihim berkata, "Nabi (s.a.w) yang merupakan rahmat, tidak pernah membunuh walaupun wanita dan kanak-kanak Yahudi."

Selain itu, penulis bernama Halimah Mudzaffar dalam surat khabar al-Watan meminta para pegawai Arab Saudi menyeret al-Duraihim ke muka pengadilan di samping menyingkirikannya dari arena akademik.

Yusuf Abal Kheil dalam akhbar al-Riyadh menulis, "Bukan Allah sahaja menggelapkan iman dalam hati orang yang berkata seperti ini, bahkan seluruh haiwan dan tumbuhan tidak mendoakan rahmat golongan ini."

Sa'ad al-Duraihim sebelum ini mendakwa hak untuk masuk ke syurga hanyalah diberikan kepada penduduk dan ulama Najd sahaja.

Selain itu ulama Saudi ini pernah berkata, "Saya tidak mengakui kemaksuman penduduk Najd, Ahlusunnah dan Firqah al-Najiyah berkemungkinan ada di rantau lain, namun kebanyakan mereka ada di wilayah ini."

Kebanyakan aktivis masyarakat dalam berbagai laman web mengkritik keras kenyataan-kenyataan al-Duraihim sambil menyifatkannya sebagai penghasut perkauman.