Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Syeikh Ali Jum'ah dalam wawancara bersama saluran televisyen al-Arabiya kelmarin menjelaskan bahawa beliau menerima fatwa pemimpin tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatullah Sayid Ali Khamenei tentang haramnya penghinaan terhadap simbol suci Ahlusunnah.
Beliau juga turut mengalu-alukan seruan para ulama Syiah Iraq yang meminta pengharaman sebarang penghinaan terhadap sahabat Nabi di atas minbar dan di dalam ucapan. Ali Jum'ah berkata, "Kewajipan semua ulama Ahlusunnah ialah bekerjasama dengan pengikut Syiah di seluruh negara Islam."
"Dari perspektif fikah, Syiah lebih maju dari Ahlusunnah, ini dapat dilihat dalam fatwa-fatwa marja' besar Syiah," jelas beliau lagi.
Sambil menegaskan beliau sendiri tidak pernah melihat sebarang penghinaan terhadap para Khulafa Rashidin dan para isteri Nabi dalam kitab asli Syiah, beliau menegaskan, "Fatwa Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran merupakan salah satu jasa besar beliau terhadap Islam dan umatnya, yang mana ia amat membantu perpaduan."
Menceritakan pengalaman beliau bersama para ulama Syiah dalam beberapa persidangan di peringkat global, beliau berkata, "Dalam pertemuan-pertemuan ini, para ulama Syiah berkata kepada saya bahawa penghinan terhadap Khulafa al-Rashidin dan isteri-isteri Nabi bukanlah dilakukan oleh pengikut Syiah, bahkan ianya dilakukan oleh musuh-musuh perpaduan Syiah dan Sunni di mana mereka ingin mewujudkan sektarianisme dalam dunia Islam."
Dalam wawancara tersebut beliau juga menganggap bahawa seorang Sunni dibolehkan menuruti fatwa-fatwa dan fikah Syiah. Katanya lagi pembolehan tersebut juga pernah diputuskan oleh ulama besar Mesir dan syeikh al-Azhar seperti Syeikh Mahmud Shaltut. "Ini disebabkan tidak ada perbezaan antara Syiah dan Sunni menurut pandangan kami."