5 Disember 2013 - 20:30
Karya Faisal Tehrani tidak patut diharamkan

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga karya novelis Faisal Tehrani masih berada di peringkat penilaian, pihaknya akan mengizinkan penerbitannya sekiranya tidak berkaitan dengan ajaran Syiah

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti tiga karya novelis Dr. Faisal Tehrani bagi memastikan penulisannya tidak mengandungi unsur fahaman Syiah dan menyimpang dari aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiga karya tersebut 'Tiga Kali Seminggu, Drama Pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah' masih berada di peringkat penilaian dan jika didapati tidak mengandungi unsur menyalahi fahaman Islam, pihaknya akan mengizinkan pengedarannya untuk tatapan umum.

"Jika karya atau puisi ini tidak ada kaitan dengan sebarang ajaran Islam yang salah termasuk syiah, jadi ia tidak patut diharamkan. Saya akan benarkan buku berkenaan diedarkan jika kandungannya tidak terpesong daripada ajaran Islam," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada wartawan ketika diminta mengulas mengenai pengharaman dua novelnya sebelum ini iaitu 'Perempuan Nan Bercinta' dan 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' kerana didapati mengandungi unsur fahaman Syiah.