16 Oktober 2014 - 02:14
Puluhan ribu tuntut pisah dari Yaman

Penduduk Yaman Selatan sering mengadu dianak tirikan oleh kerajaan sekarang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Puluhan ribu penduduk dari seluruh pelusuk Yaman keluar berdemonstrasi sambil menuntut pemisahan Yaman Selatan daripada pemerintahan yang sedia ada. Tuntutan ini berasaskan fakta Yaman Selatan pernah mempunyai pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan dari tangan penjajah Inggeris.

Perarakan ini dilakukan sejurus setelah presiden Yaman memperkenalkan Perdana Menteri baru demi mengakhiri konflik politik yang sudah lama berlarutan.

Penunjuk perasaan kelihatan membawa bendera Republik Demokratik Yaman di Medan Khormakser manakala lalu lintas terpaksa ditutup.

Aktivis pemisah, Ahmad Badr berkata, "Hari ini kami mengenang revolusi 14 oktober yang mengakhiri penjajahan Inggeris. Kami juga bersedia dalam tarikh ini untuk mencapai kemerdekaan yang kedua dari pasukan Utara."

Katanya lagi, "Pembentukan sebuah negara merdeka merupakan matlamat asal kami. Kami berjanji kepada penduduk Yaman Selatan bahawa kemenangan terlalu dekat."

Abdul Rabbah Mansur Hadi pada hari Isnin lalu melantik duta negara ini ke PBB dan mantan Menteri Minyak, Khalid Mahfuz Bahah sebagai Perdana Menteri baru.

Pada tahun 1990, wilayah Selatan dan Utara Yaman telah bergabung secara aman namun pada tahun 1994 hubungan kedua-dua wilayah ini tegang sehiggalah timbul tuntutan perpisahan antara kedua-duanya pada tahun 2007.

Penduduk Selatan Yaman sering mengadu dipinggirkan oleh kerajaan setelah kalah dalam perang saudara empat bulan pada tahun 1994.

Konflik di Selatan Yaman boleh menyebabkan kemunculan cabang-cabang al-Qaeda sehingga menyebabkan kawasan terbabit tidak stabil.