31 Oktober 2014 - 03:37
Musuh ingin pisahkan Iran dari dunia Islam

Pihak musuh berusaha keras membangunkan tembok pemisan antara Republik Islam Iran dan dunia Islam yang lain.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Ayatullah Sayid Ali Khamenei ketika mengulas tentang usaha bersepadu pihak musuh dalam memisahkan Iran dari dunia Islam berkata, "Meletakkan dinding pemisah antara Republik Islam Iran dengan dunia Islam yang lain merupakan salah satu taktik musuh. Umat Islam perlu memanfaatkan ibadah haji sebaik-baiknya sebagai "perhimpunan umat Islam" untuk menyingkirkan dinding palsu dan menukar gambaran negatif akibat propaganda dusta pihak musuh.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama kakitangan dan penyelia urusan jemaah haji dua hari lalu.

Ayatullah Khamenei dalam menerangkan peningkatan prestasi haji berkata, "Peningkatan prestasi haji ialah menjawab apa yang diperlukan oleh pemikiran dan spiritual jemaah haji yang mana kualiti kegiatan yang dilaksanakan seperti pembacaan doa Kumail, upacara Bara'ah dari musyrikin dan pengaturan jadual program. Begitu juga dalam melihat transformasi dan teknologi baru, keperluan pembicara haji terutamanya masalah-masalah penting masakini di dunia Islam dapat dijawab."

Sambil menyentuh tentang perpaduan umat Islam sebagai keperluan sebenar dunia Islam hari ini, beliau menegaskan, "Perpaduan dan persaudaraan antara umat Islam merupakan salah satu daripada prinsip agama kita. Dalam perkara ini Republik Islam Iran tidak berpura-pura."

Kata beliau lagi, perpaduan bukan bermakna menyimpang dari akidah dan mazhab yang berbeza.

"Perpaduan Islam merupakan slogan asas bagi Republik Islam Iran, iaitu umat Islam tidak berseteru antara satu sama lain. Masing-masing saling mempertahankan isu penting dunia Islam.

"Semua orang bertanggung jawab menyingkirkan tembok pemisah palsu ini sementara ibadah haji yang menjadi perhimpunan umat Islam hendaklah dijadikan sebaik-baik peluang dan kedudukan untuk usaha ini," tutur beliau.

Mengenai usaha musuh dalam memburukkan nama Islam, Iran dan Syiah, beliau mengulas, "Penulisan buku dalam menjawab syubhat ini tidak cukup, bahkan analisa perlu dilakukan bagi menggunakan berbagai methodologi dalam menghapuskan pemikiran palsu dan propaganda dusta."