3 Oktober 2016 - 19:20
 Turki Perpanjangkan Tempoh Darurat Untuk 3 Bulan Lagi

Turki telah memanjangkan tempoh darurat di seluruh wilayah di negara tersebut bermula pada Oktober 19 ini yang sebelumnya diperkenalkan untuk menangani isu cubaan rampasan kuasa tentera,

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Turki telah memanjangkan tempoh darurat di seluruh wilayah di negara tersebut bermula pada Oktober 19 ini.

Akta darurat itu sebelumnya diperkenalkan setelah republik itu menyaksikan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera pada pertengahan Julai lepas. Rampasan kuasa itu menemui jalan buntu setelah para konspirator menyaksikan kebangkitan rakyat Turki yang menolak proses tidak demokratik di dalam menentukan hala tuju negara tersebut. Seramai 270 orang dilaporkan terbunuh di dalam rampasan kuasa tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus mengatakan bahawa tempoh darurat yang sedia ada akan diperpanjangkan selama 90 hari lagi bermula pada 19 Oktober. Pengumuman itu dibuat di dalam sebuah sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet yang membincangkan perkara tersebut berlangsung.

Dengan menggunakan akta tersebut, kerajaan pimpinan Erdogan telah melancarkan beberapa siri tangkapan yang sehingga kini menyaksikan seramai 32000 telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Fethullah Gulen. Gulen adalah seorang ulama yang berpusat di A.S yang dituduh oleh Ankara sebagai arkitek kepada cubaan rampasan kuasa 20 Julai tersebut. Puluhan ribu lagi telah dipecat atau digantung daripada tugas mereka.

Pihak pembangkang dengan keras mengecam Erdogan dengan menuduh bahawa beliau sedang mengeksploitasi cubaan rampasan kuasa tersebut di dalam rangka mendiamkan pengkritiknya.

Pemimpin parti CHP, Kemal Kilicdaroglu, membidas polisi Erdogan dengan mengatakan bahawa Turki telah berubah menjadi sebuah penjara "separa terbuka" semenjak operasi ke atas mereka yang terlibat di dalam rampasan kuasa tersebut dilancarkan.

Beliau mengatakan, "Kita telah memenjarakan penulis, wartawan, dan para artis. Kita sebenarnya sedang hidup di dalam penjara separa terbuka, tetapi kita akan terus melawan." Ujar beliau dengan merujuk kepada peningkatan jumlah tangkapan yang dibuat ke atas golongan di atas.

Pihak lain juga mengatakan bahawa Ankara telah bertindak di luar undang-undang di dalam usahanya untuk memburu para perampas kuasa.

Minggu lepas, Erdogan menolak kritikan terhadapnya berkenaan dengan keperluan memanjangkan tempoh darurat sambil berkata bahawa langkah itu boleh di teruskan untuk setahun lagi.