Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jurucakap pasukan koalisi anti-ISIS yang diketuai oleh A.S mengatakan bahawa kehadiran tentera darat Turki di Iraq tidak ada kena mengena dengan agenda pakatan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa tindakan Ankara itu dilakukan secara bersendirian. Tindakan itu setakat ini telah menimbulkan kemarahan Baghdad yang telahpun memanggil Majlis Keselamatan PBB untuk bersidang di dalam usaha menangani apa yang dianggap sebagai pencabulan Ankara ke atas kedaulatannya.
Kenyataan itu dibuat pada Khamis semalam oleh Kolonel John Dorian yang merupakan jurucakap pasukan CJTF yang terdiri daripada 65 buah negara di dalam usaha mereka untuk memerangi ISIS.
Dorian juga mengumumkan bahawa Turki sedang beroperasi secara bersendirian di Iraq sekaligus menolak tanggungjawab pasukan tersebut ke atas misi Turki tersebut. AP memetik beliau sebagai berkata bahawa setiap unit "sepatutnya berada di sini dengan koordinasi Baghdad ataupun dengan kebenaran kerajaan Iraq."
Pada Khamis lepas, Baghdad telah memanggil Majlis Keselamatan untuk bersidang dan berbincang tentang isu terbabit. Badan tersebut perlu "menggalas tanggungjawabnya dan mengeluarkan resolusi yang akan menamatkan pancabulan tentera Turki ke atas kedaulatan Iraq," kata jurucakap kementerian luar Iraq, Ahmad Jamal.
Sejak 2014, anggota tentera Turki telah memberikan latihan kepada pejuang anti-ISIS di negara Iraq. Latihan ketenteraan itu tertakluk kepada sebuah perjanjian di antara kedua-dua negara jiran itu, Walaubagaimanapun, pada 4 Disember 2015, Turki telah meningkatkan jumlah anggotanya di Iraq dengan dakwaan langkah itu perlu untuk melindungi para penasihatnya yang sedia ada di kawasan tersebut. Langkah itu membangkitkan kemarahan Baghdad sekaligus mendakwanya sebagai pencabulan terang-terangan Ankara ke atas kedaulatannya. Dua minggu yang lepas juga, dunia telah menyaksikan parlimen Turki telah mencapai kesepakatan untuk memperpanjangkan tempoh kehadirannya di bumi Iraq dan Syria.
Perdana Menteri Iraq di dalam sebuah temu ramah membidas Turki dengan mengatakan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan menegaskan bahawa ia mampu mengheret kedua-dua negara ke kancah peperangan. Ankara telah menolak pendapat Baghdad tersebut sambil berkata mereka tidak akan meninggalkan kawasan tersebut tanpa menghiraukan apapun yang akan Baghdad katakan.
Turki setakat ini telah melancarkan pengeboman udara ke atas kumpulan militan sejak 2014 di bawah rangka kerja CJTF. A.S yang mengetuai pasukan itu telah berkali-kali memanggil Turki sebagai rakan pentingnya. Di dalam sebuah temu ramah dengan rangkaian ABC, Setiausaha Negara A.S, John Kerry pernah mengatakan bahwa Turki adalah negara sahabat yang penting di dalam usaha mereka memerangi ISIS.
Walaubagaimanapun, keretakan di dalam hubungan kedua-dua negara itu mula kelihatan apabila Ankara melancarkan operasi daratnya di Jarablus yang terletak berdekatan dengan sempadan Turki-Syria. Ankara mendakwa operasi itu dilancarkan untuk menghalau keluar pengganas ISIS dan juga militan YPG yang mana Ankara menganggap mereka sebagai kumpulan pengganas. Akan tetapi para pejuang YPG merupakan sebuah elemen yang dianggap penting oleh Washington di dalam usaha memerangi ISIS. Oleh kerana itu, tindakan Ankara telah mengundang kejengkelan Rumah Putih.
"Kita mahu menjelaskan bahawa pertempuran ini -yang berlaku di kawasan yang tidak diduduki ISIS- sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sekaligus merungsingkan," kata wakil khas Presiden A.S di dalam usaha memerangi ISIS, Brett McGurk di akaun Twitter beliau. Kenyataan itu telah disusuli oleh Ashton Carter yang merupakan Setiausaha Pertahan A.S dengan dilaporkan berkata bahawa Turki sepatutnya memfokuskan serangannya ke atas posisi ISIS.
Wakil Turki di dalam urusan berkaitan EU membalas dengan mengatakan bahawa tiada siapa yang boleh mengarahkan Turki untuk berperang dengan kumpulan pengganas yang manapun.
Turki harus menggalas tanggungjawab bersendirian ke atas tindakannya yang tidak direstui CJTF di Iraq.
Turki Bertindak Sendirian Di Iraq Menjelang Sidang Majlis Keselamatan: Koalisi anti ISIS (CJTF).
8 Oktober 2016 - 13:40
News ID: 784256
Jurucakap pasukan koalisi anti-ISIS yang diketuai oleh A.S mengatakan bahawa kehadiran tentera darat Turki di Iraq tidak ada kena mengena dengan agenda pakatan tersebut sekaligus menunjukkan bahawa tindakan Ankara itu dilakukan secara bersendirian.