Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak tentera A.S telah melancarkan serangan ke atas kawasan yang menempatkan kemudahan radar di Yaman. Pentagon mendakwa serangan ini merupakan tindak balas A.S terhadap cubaan serangan ke atas kapal perang USS Mason sebelum ini. Sebahagian sumber di dalam gerakan Ansarullah sebelumnya telah menafikan penglibatan kumpulan itu di dalam serangan tersebut.
Pentagon mendakwa bahawa 3 buah infrastruktur radar telah dimusnahkan pada awal hari Khamis. Ia juga turut mendakwa bahawa tindakan itu dilakukan untuk melindungi para petugas A.S, kapal-kapal mereka, dan kebebasan pelayaran secara umumnya. Menurut sebuah laporan, sasaran-sasaran tersebut dimusnahkan oleh peluru berpandu Tomahawk yang telah dilancarkan dari kapal pemusnah USS Nitze.
"A.S akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman ke atas kapal-kapal kami dan laluan perdagangan," kata jurucakap Pentagon, Peter Cook. Serangan yang diluluskan oleh Obama itu menandakan penglibatan secara langsung pertama tentera A.S di dalam konflik yang melanda negara Islam tersebut.
Tentera A.S sebelumnya telah memberikan bantuan logistik dan pengawasan kepada pakatan tajaan Arab Saudi di dalam kempen mereka terhadap negara Yaman. Kempen tersebut setakat ini telah meragut nyawa 10000 orang dan sudahpun berlarutan sejak Mac 2015.
Washington juga pernah mengkritik rejim Saudi di atas jenayah kemanusiaan mereka terhadap Yaman tetapi tidak pernah menunjukkan tanda yang ia akan menghentikan sokongan terhadap Riyadh yang merupakan sekutu penting A.S di rantau Timur Tengah.
Menurut sebuah laporan yang dicetak oleh The Intercept, A.S dan Britain menyedari bahawa sasaran-sasaran pengeboman rejim Riyadh di Yaman adalah lokasi awam tetapi mereka tetap membantu rejim Saudi dengan membekalkan persenjataan dan khidmat perisikan yang diperlukan Riyadh.
13 Oktober 2016 - 04:55
News ID: 785107
Pihak tentera A.S telah melancarkan serangan langsung ke atas kawasan yang menempatkan kemudahan radar di Yaman. Pentagon mendakwa serangan ini merupakan tindakan balas A.S