7 November 2016 - 06:37
Saya Tidak Kisah Dipanggil Diktator: Erdogan.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa beliau tidak peduli jika dipanggil sebagai seorang diktator kerana tindakan kerasnya terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa beliau tidak peduli jika dipanggil sebagai seorang diktator kerana tindakan kerasnya terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

"Eropah secara keseluruhan mendukung keganasan. Walaupun mereka megumumkan bahawa PKK adalah sebuah organisasi pengganas namun dengan jelas kita melihat bahawa parti itu bebas melakukan aktiviti mereka di Eropah," kata Erdogan di dalam sebuah ucapan yang disiarkan oleh rangkaian televisyen.

Ankara telah mengundang kritikan antarabangsa setelah baru-baru ini menahan beberapa orang pemimpin dan penggubal undang-undang dari parti pro-Kurdis, Parti Demokratik Rakyat (HDP) di dalam apa yang didakwa oleh pihak kerajaan sebagai sebahagian daripada operasi mereka dalam rangka membasmi keganasan di negara itu.

"Mereka (Barat) tidak perlu menyibuk di atas perkara yang sia-sia. Kami kenal mereka dengan baik. Kami telah mempelajari sejarah mereka dengan baik. Kami tahu. Saya telah mengenal mereka sepanjang perkhidmatan saya sebagai perdana menteri dan presiden selama 14 tahun. Saya cukup mengenali mereka. Saya tidak kisah jikalau mereka menggelar saya seorang diktator. Kritikan itu masuk di telinga kanan dan keluar di telinga kiri," tambah beliau.

Erdogan berulang kali mendakwa bahawa HDP merupakan cabang politik pertubuhan PKK dan memanggil supaya mereka didakwa di atas penglibatannya dalam aktiviti keganasan.