Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Laut Pakistan mendakwa bahawa mereka telah berjaya 'menghalang' sebuah kapal selam India daripada memasuki perairan Pakistan. Kebelakangan ini, hubungan di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu tegang rentetan insiden yang berlaku di Kashmir.
Pihak tentera laut pada hari Jumaat berkata bahawa mereka telah mengesan kapal selam tersebut berhampiran selatan perairan Pakistan pada 14 November lalu sekaligus menghalang kapal itu daripada memasuki perairan tersebut.
"Setelah berusaha habis-habisan untuk mengelak daripada dikesan, kapal itu secara terus-menerus dipantau oleh unit-unit daripada Armada Tentera Laut Pakistan yang pada gilirannya 'menghalang' kapal itu daripada memasuki perairan kami," tulis kenyataan itu.
Pihak Tentera Laut Pakistan turut menyiarkan rakaman video dan foto yang didakwa menunjukkan kapal selam tersebut.
India walaubagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan jurucakap tentera laut negara itu berkata bahawa perkara itu adalah penipuan yang jelas semata-mata.
Hubungan di antara Delhi dan Islamabad amat tegang kebelakangan ini rentetan dakwaan India bahawa kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan telah menyerang kem tenteranya di wilayah Kashmir pada September lepas. Serangan itu menyebabkan 19 anggota tentera India terbunuh. Pakistan menafikan keras dakwaan Delhi dengan mengatakan pihakny tidak bertanggungjawab ke atas insiden itu.
19 November 2016 - 03:42
News ID: 792806
Tentera Laut Pakistan mendakwa bahawa mereka telah berjaya 'menghalang' sebuah kapal selam India daripada memasuki perairan Pakistan di sebalik suasana tegang yang wujud di antara kedua-dua negara.