28 November 2016 - 20:02
40% Kawasan Timur Aleppo Dibebaskan Oleh Tentera Syria.

Hampir 40 peratus kawasan timur bandar Aleppo yang sebelum ini dikuasai pengganas telah berjaya dibebaskan oleh tentera kerajaan Damsyik pada petang Isnin lepas.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hampir 40 peratus kawasan timur bandar Aleppo yang sebelum ini dikuasai pengganas telah berjaya dibebaskan oleh tentera kerajaan Damsyik pada petang Isnin lepas. Perkara tersebut dilaporkan oleh Pusat Pendamaian Semula yang diseliakan oleh pihak Rusia di Syria.

"Lebih daripada 80000 orang mendiami kawasan yang dibebaskan itu. Pusat Pendamaian Semula Rusia dan pihak berkuasa Syria sedang giat berusaha untuk menghantar bantuan kemanusiaan, perubatan, air minuman, dan makanan panas kepada mereka. Lebih daripada 5000 orang awam melarikan diri dari kawasan selatan di bahagian timur Aleppo yang dikuasai pengganas untuk mencari perlindungan di kawasan yang dikawal oleh kerajaan," kata pusat itu.

Kesemua pelarian telah diterima dan ditempatkan di pusat yang menyediakan bantuan kepada mereka sepanjang masa.

Sebelum ini, pusat yang sama telah melaporkan bahawa tentera kerajaan telah berjaya membebaskan 12 kawasan di timur Aleppo daripada cengkaman pengganas.

"Hampir 40 peratus kawasan timur Aleppo sudah dibersihkan daripada elemen pengganas," kata pusat itu lagi.