1 Disember 2016 - 15:47
Duta Besar Rejim Zionis Tiba Di Ankara.

Duta Besar Baharu Israel ke Turki dilaporkan telah tiba di Ankara berikutan pembaharuan semula hubungan dua hala kedua-dua negara selepas 6 tahun mengalami fasa kemunduran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Duta Besar Baharu Israel ke Turki dilaporkan telah tiba di Ankara berikutan pembaharuan semula hubungan dua hala kedua-dua negara selepas 6 tahun mengalami fasa kemunduran.

Eitan Naeh, seorang diplomat berpengalaman yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Duta rejim Israel di London dan Duta Besar Tel Avis ke Azerbaijan, tiba di Ankara pada hari Khamis.

Turki dan Israel "memiliki sejarah yang panjang dalam menghulurkan bantuan kepada satu sama lain pada waktu yang memerlukan," kata Naeh seperti yang dinukilkan oleh Agensi Anadolu.

Dia juga berkata Turki adalah salah sebuah negara yang menawarkan bantuan kepada Israel dalam usaha rejim itu membasmi kebakaran hutan pada bulan lepas.

Turki juga dijangkakan akan menamakan Duta Besarnya ke Israel tidak lama lagi.

Ketibaan Naeh adalah sebahagian daripada penyelesaian yang dibuat pada Jun lepas dalam menangani masalah yang wujud di antara kedua-dua negara sekutu A.S di rantau tersebut.

Hubungan Ankara-Tel Aviv sebelum ini retak berikutan serangan komando Israel ke atas sebuah kapal Turki yang menuju ke Gaza dalam rangka menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam di sana pada 2010.

Kapal Mavi Marmara diserang oleh komando Israel yang mana tindakan agresif rejim haram itu menyebabkan 9 orang aktivis terbunuh.