Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para militan dilaporkan telah membakar 7 buah bas yang sedang menuju ke dua buah bandar yang dikepung oleh mereka di wilayah Idlib. Menurut sumber sukarelawan tempatan, bas-bas itu sedang menuju ke bandar Fuah dan Kafarya yang masih dikawal oleh tentera Damsyik dalam rangka mengeluarkan orang awam dari kawasan itu.
"Para militan telah mencabuli perjanjian sekali lagi. Mereka membakar 7 buah bas yang sedang menuju ke Fuah dan Kafarya dalam upaya memindahkan penduduknya (ke kawasan yang selamat)." kata sumber itu.
Agensi Berita SANA melaporkan bahawa para militan yang terlibat di dalam insiden tersebut adalah pengganas yang lengkap bersenjata.
Sebelum itu, kerajaan Damsyik telah menuntut pemindahan ribuan penduduk awam dari kedua-dua bandar itu sebagai pertukaran ke atas pemindahan para militan, pengganas dan keluarga mereka dari bandar Aleppo.
Usul Damsyik itu melibatkan 1200 penduduk bandar Fuah dan Kafarya. Sebagai balasan sejumlah 1200 militan, pengganas dan ahli keluarga mereka akan dibenarkan untuk meninggalkan timur Aleppo.
Fuah dan Kafarya adalah kawasan yang masih dikawal oleh pihak kerajaan di wilayah Idlib. Kedua-dua bandar itu dikepung oleh pihak militan sejak 2013. Sekitar 20000 orang dikatakan terperangkap di situ dan situasi mereka dilaporkan amat teruk.
Malangnya penderitaan mereka tidak mendapat perhatian pihak media yang lebih tertumpu kepada situasi di timur Aleppo di mana kumpulan militan dan pengganas menjadi pihak yang terkepung di sana