1 Januari 2017 - 18:32

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa serangan ke atas sebuah kelab malam di Istanbul pada malam sambutan Tahun Baharu bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan di dalam negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa serangan ke atas sebuah kelab malam di Istanbul pada malam sambutan Tahun Baharu bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan di dalam negara itu.

"Dengan melancarkan serangan ke atas orang awam, mereka cuba untuk menimbulkan kekacauan dan menghilangkan kestabilan negara kami," kata Erdogan. "Sebagai sebuah negara, kita akan bersifat tenang dan bersatu di dalam menghadapi permainan kotor ini," tambahnya lagi.

Erdogan turut berkata bahawa serangan pengganas yang menghantui negaranya mempunyai kaitan dengan situasi di rantau itu. Menurut beliau, Turki nekad untuk menghapuskan keganasan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali telah menyerang kelab malam Reina di daerah Ortakoy di mana 700 hingga 800 pengunjung sedang menghadiri pesta sambutan Tahun Baharu. Menurut laporan media tempatan, lelaki itu berpakaian Santa Claus ketika melancarkan serangan.

Menurut Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu, 39 orang termasuk 15 warga asing telah terbunuh di dalam serangan itu. Sejumlah 69 orang lagi dilaporkan cedera.