3 Mac 2017 - 19:28
Parlimen EU Undi Tamat Perjalanan Tanpa Visa AS

Parlimen Eropah mengundi untuk menamatkan perjalanan tanpa visa rakyat Amerika dalam negara Kesatuan Eropah (EU).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Parlimen Eropah mengundi untuk menamatkan perjalanan tanpa visa rakyat Amerika dalam negara Kesatuan Eropah (EU).

Keputusan itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) gagal untuk bersetuju menetapkan perjalanan tanpa visa kepada rakyat lima negara anggota EU iaitu Bulgaria, Croatia, Cyprus, Poland dan Romania.

Langkah itu juga sebagai sebahagian daripada memenuhi perjanjian timbal balik kerana rakyat AS biasanya boleh melawat ke semua negara dalam blok EU tanpa visa.

Hasil undian jawatankuasa kebebasan awam itu bermakna rakyat Amerika akan perlu memohon dokumen tambahan untuk 12 bulan selepas Suruhanjaya Eropah melaksanakan peraturan baharu itu.

Jawatankuasa itu mendapati AS tidak memenuhi tanggungjawab di bawah perjanjian timbal balik itu tiga tahun lalu tetapi masih tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Pada masa sama, Australia, Brunei, Jepun dan Kanada turut gagal memenuhi tanggungjawab mereka tetapi keempat-empat negara itu sudah menarik balik atau bakal menarik balik mana-mana sekatan visa perjalanan terhadap warga EU.

Susulan undian jawatankuasa, suruhanjaya itu perlu bertindak untuk menggantung pengecualian visa bagi rakyat Amerika, tetapi Parlimen Eropah atau Majlis Eropah boleh membantah. - INDEPENDENT