Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Iraq dilaporkan telah meneruskan kemaraan mereka ke pusat bandar lama Mosul dalam rangka membasmi elemen kumpulan pengganas Takfiri Daesh di tebing barat sungai Tigris.
Brigadier Jeneral Yahya Rasool yang merupakan jurucakap kepada Pusat Arahan Operasi Bersama (JOC) memberitahu rangkaian televisyen milik kerajaan pada hari Ahad bahawa tentera Iraq sedang meneruskan kemaraan dari arah selatan dan barat daya Mosul ke arah pusat bandar itu.
Anggota Pasukan Anti-Pengganas turut dilaporkan sedang meneruskan kemaraan mereka ke daerah Tal al-Ruman dan Somood di Mosul.
Seorang pegawai daripada Divisyen Tindakan Pantas yang dirahsiakan namanya berkata bahawa pasukan mereka telah berjaya meneruskan kemaraan dari arah selatan dan menembusi kawasan kejiranan Dawasa dan Danadan. Mereka kini berada beberapa ratus meter dari bangunan kerajaan di pusat bandar Mosul.
Kejayaan membebaskan Dawasa dilaporkan mempunyai kepentingan strategik yang penting memandangkan kawasan itu menghoskan ibu pejabat Gabenor wilayah Nineveh dan beberapa bangunan kerajaan yang lain.
Mosul jatuh ke tangan kumpulan pengganas Takfiri Daesh pada tahun 2014 apabila kumpulan tersebut memulakan kempen kejamnya ke atas negara Arab itu.
Tentera Iraq dan sekutunya telah melancarkan serangan sejak Oktober lepas untuk merampas kembali Mosul yang merupakan kubu terakhir pengganas di negara Iraq.
Tentera Iraq berjaya membebaskan kawasan timur Mosul pada bulan Januari lepas; iaitu sekitar 100 hari selepas mereka memulakan kempen membebaskan bandar itu. Mereka seterusnya memulakan fasa baharu dengan objektif membebaskan kawasan barat Mosul pada 19 Februari yang lepas.
Lebih daripada 45,000 warga awam telah meniggalkan Mosul sejak permulaan kempen tersebut. Perkara itu dilaporkan oleh Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM).
/315