16 April 2017 - 15:32
Syria Sambung Proses Pemindahan Penduduk Foua Dan Kefraya Selepas Serangan Pengganas

Tentera Syria dilaporkan telah menyambung semula proses mengeluarkan warga negara itu yang terperangkap di kawasan yang dikepung oleh kumpulan militan selepas bas-bas yang membawa mereka diserang oleh pengganas pada hari Sabtu. Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 126 orang terbunuh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Syria dilaporkan telah menyambung semula proses mengeluarkan warga negara itu yang terperangkap di kawasan yang dikepung oleh kumpulan militan selepas bas-bas yang membawa mereka diserang oleh pengganas pada hari Sabtu. Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 126 orang terbunuh.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHRC) pada hari Ahad mengatakan bajawa 109 daripada mereka yang terbunuh adalah warga awam yang dikeluarkan dari kawasan yang dikepung oleh kumpulan militan. Kawasan itu merangkumi pekan Kefraya dan al-Foua yang terletak di wilayah Idlib. Mangsa yang selebihnya terdiri daripada pekerja bantuan dan mereka yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan konvoi itu. Kedua-dua pekan tersebut mempunyai majoriti penduduk yang menganut mazhab Syiah.

Kumpulan pemerhati itu turut menambah dengan mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 68 orang daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Angka kematian juga mungkin akan terus meningkat memandangkan ratusan yang lain juga dilaporkan mengalami kecederaan akibat daripada letupan tersebut.

Seorang pengebom pada hari Sabtu telah menyasarkan bas-bas itu ketika mereka sedang menanti di sebuah pusat kawalan yang terletak di kawasan yang dikuasai pemberontak sebelum melepasi kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan.

Insiden itu berlaku di daerah al-Rashideen yang terletak di luar bandar Aleppo.

Proses pengeluaran penduduk itu dibuat di bawah sebuah perjanjian di antara Damsyik dan kumpulan militan yang mana menurut perjanjian itu, sekitar 16,000 penduduk Foua dan Kefraya akan dipindahkan ke kawasan yang dikawal tentera kerajaan. Selari dengan itu, para militan dan keluarga mereka yang berada di bandar al-Zabadani dan Madaya yang kini dikepung tentera kerajaan akan dibenarkan meninggalkan kawasan itu sebelum menuju ke destinasi yang dikehendaki oleh kumpulan militan.

Iran mengecam keras pengeboman itu dengan menyifatkannya sebagai "tindakan memalukan yang dilancarkan oleh pengganas Takfiri" dan dalam masa yang sama turut menyampaikan takziah mereka kepada kerajaan Syria dan warga negara Arab itu.

/315