26 April 2017 - 14:48
Saya Tidak Mahu Jadi Barang Permainan Politik Israel: Menteri Luar Jerman

Menteri Luar Jerman berkata bahawa beliau tidak mahu menjadi "barang permainan" bagi politik Israel selepas perdana menteri rejim enggan menerimanya kerana tindakan menteri tersebut menemui kumpulan pro Palestin.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Jerman berkata bahawa beliau tidak mahu menjadi "barang permainan" politik Israel selepas perdana menteri rejim enggan menerimanya kerana tindakan menteri tersebut menemui kumpulan pro Palestin.

"Saya bercakap dengan telus, kami tidak boleh jadi bola politik untuk politik domestik Israel," kata Sigmar Gabriel pada hari Selasa.

Gabriel telah tiba ke kawasan yang diduduki Tel Aviv di Palestin pada hari Isnin. Beliau sebelumnya telah memaklumkan niatnya untuk menemui kumpulan 'Breaking The Silence dan B'Tselem yang kedua-duanya membantah pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin.

Netanyahu sebelum ini memberikan ultimatum kepada ketua diplomat Jerman itu berikutan rancangannya untuk menemui kumpulan-kumpulan tersebut dengan berkata bahawa dia tidak akan menemui Gabriel jika menteri itu tidak membatalkan rancangannya itu.

Netanyahu berkata bahawa pertubuhan itu "memfitnah" tentera Israel dan "cuba membawa tentera rejim ke muka pengadilan". Dia turut menambah dengan menegaskan bahawa Tel Aviv akan terus-menerus membatalkan pertemuan dengan para pegawai yang berdialog dengan kumpulan hak asasi itu.

Di sebalik ancaman itu, Gabriel tetap mengadakan pertemuan dengan kumpulan tersebut. Ketika mengulas tentang insiden itu, beliau berkata, "Saya amat mengesalinya. Saya terkejut dengan pembatalan pertemuan (dengan Netanyahu) tersebut. Zahirnya kerana kami mahu melakukan sesuatu yang biasa dilakukan di dalam lawatan sebegini; iaitu bertemu dengan wakil daripada masyarakat awam."

"Kalian tidak boleh mendapatkan gambaran yang benar dan komprehensif di dalam sesebuah negara di muka bumi jikalau kalian hanya bertemu di dalam pejabat kerajaan," tambah Gabriel.

Selepas pertemuan itu, B'Tselem megeluarkan kenyataan akhbar dengan menyeru komuniti antarabangsa untuk membawa rejim Tel Aviv ke muka pengadilan berikutan tindakan mereka menduduki wilayah Palestin secara berterusan.

/315