23 Mei 2017 - 18:28
Rejim Bahrain Jadi Lebih 'Berani' Selepas Pertemuan Dengan Trump: Zarif

Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif berkata bahawa tindakan keras rejim Bahrain ke atas para peserta tunjuk perasaan di negara tersebut merupakan natijah daripada tindakan Trump "beramah mesra" dengan para pemerintah zalim ketika melawat Riyadh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif berkata bahawa tindakan keras rejim Bahrain ke atas para peserta tunjuk perasaan di negara tersebut merupakan natijah daripada tindakan Trump "beramah mesra" dengan para pemerintah zalim ketika melawat Riyadh.

"Natijah konkrit pertama daripada tindakan Presiden Amerika Syarikat yang beramah mesra dengan para penzalim di Riyadh; Serangan maut ke atas para penunjuk perasaan oleh rejim Bahrain yang menjadi semakin berani. Buat carian di Google," kata Zarif di dalam laman sosialnya pada hari Selasa.

Komen Zarif itu dibuat pada hari yang sama pasukan keselamatan rejim Manama memecah masuk rumah milik ulama terkemuka negara itu, Syeikh Isa Qasim di sebuah kawasan yang terletak di Diraz.

Pihak keselamatan juga melancarkan serangan berdarah ke atas para penunjuk perasaan yang berkumpul di dataran al-Fida yang juga terletak di Diraz. Pihak rejim juga dilaporkan menyekat akses internet di kawasan itu.

Kementerian Dalam Negeri Bahrain telah membuat pengumuman bahawa pihak keselamatan rejim telah menahan 50 orang penunjuk perasaan. Akan tetapi, mereka mengatakan bahawa Syeikh Isa Qasim tidak termasuk daripada senarai mereka yang ditahan. -ABNA24

/315