Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Persekutuan Jerman, Sigmar Gabriel telah memberi amaran bahawa perbalahan di antara Qatar dan negara-negara jiran Arabnya di Teluk Parsi mungkin berakhir dengan peperangan.
Gabriel berkata bahawa masih terdapat peluang buat Qatar dan negara-negara utama di Majlis Kerjasama Teluk (Parsi) untuk meredakan ketegangan yang sedia ada. Menurutnya, kegagalan pihak terbabit untuk menggunakan peluang itu sebaiknya akan meningkatkan lagi ancaman peperangan di antara mereka.
"Wujud bahaya bahawa pertikaian ini boleh menjurus ke arah peperangan," kata Gabriel di dalam sebuah temu ramah dengan surat khabar Jerman, Frankfurter Allgemeine Sonntagszeitung.
Diplomat Jerman itu turut meluahkan kekesalan beliau berhubung kekerasan penuh "dramatik" di dalam hubungan diplomatik di antara Qatar dan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Tiga buah negara teluk itu memutuskan hubungan mereka dengan Qatar pada minggu lepas bersama-sama dengan Mesir dan Maldives. Mereka mendakwa Doha menyokong keganasan. Negara-negara itu turut melaksanakan sekatan pengangkutan laut, darat dan udara ke atas Qatar.
Qatar walau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sambil mengatakan bahawa Arab Saudi dan sekutunya mengambil tindakan itu untuk memberikan tekanan ke atas Doha supaya dapat mempengaruhi polisi luar negara Arab itu.
Para pegawai Qatar juga mengatakan bahawa mereka bersikap terbuka kepada dialog untuk memperbaiki hubungan dengan Riyadh. Akan tetapi mereka juga menegaskan bahawa Doha akan kekal bebas di dalam merencanakan polisi luarnya.
Gabriel juga berkata bahawa dia secara peribadi telah bermesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Qatar dan Turki pada minggi ini dan dalam masa yang sama bercakap melalui telefon dengan Menteri Luar Iran dan Kuwait untuk menyatakan kebimbangan Jerman berhubung pertikaian di atas.
"Selepas perbincangan saya pada minggu ini, saya mengetahui betapa seriusnya perkara ini. Akan tetapi saya juga percaya bahawa wujud peluang yang baik untuk maju ke hadapan," katanya. -ABNA24
/315
11 Jun 2017 - 07:55
News ID: 835711
Menteri Luar Persekutuan Jerman, Sigmar Gabriel telah memberi amaran bahawa perbalahan di antara Qatar dan negara-negara jiran Arabnya di Teluk Parsi mungkin berakhir dengan peperangan.