Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Yaman dengan sokongan Jawatankuasa Rakyat telah melancarkan serangan roket terbaharu ke atas sebuah pangkalan tentera yang dikendalikan oleh Arab Saudi di wilayah Najran sekaligus menyebabkan enam anggota tentera Riyadh terbunuh.
Rangkaian televisyen berbahasa Arab, al-Masirah pada hari Khamis melaporkan bahawa peluru berpandu itu mengenai kem tentera al-Shabakah.
Tentera Yaman turut melancarkan serangan yang serupa ke atas kem tentera al-Farizah yang terletak di wilayah Jizan, Arab Saudi. Serangan itu menyebabkan kebakaran di kawasan tersebut.
Tentera Yaman baru-baru ini telah meningkatkan serangan balas mereka terhadap tindakan kekerasan Arab Saudi ke atas negara jiran mereka itu. Arab Saudi memimpin sebuah pakatan Arab untuk melancarkan serangan udara ke atas wilayah-wilayah di Yaman.
Di dalam perkembangan berbeza, sumber tentera Yaman memberitahu bahawa sebuah pertempuran sengit tercetus di antara puak militan yang setia kepada bekas Presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi yang merupakan sekutu kuat Riyadh dengan para pejuang Ansarullah Houthi di daerah Sirwah yang terletak di wilayah Ma'arib.
Arab Saudi telah memimpin sebuah pakatan tentera untuk melancarkan kempen tentera yang kejam ke atas Yaman sejak 2 tahun lepas dalam rangka menghapuskan gerakan Ansarullah Houthi dan mengembalikan kuasa kepada Abd Rabbuh Mansur Hadi.
Kempen kejam itu walau bagaimanapun masih gagal mencapai objektif mereka di sebalik bajet tentera Arab Saudi yang besar.
Kempen Riyadh ke atas negara jiran Muslimnya itu setakat ini telah menyebabkan 12,000 nyawa terbunuh. Gerakan Ansarullah Houthi yang disokong oleh pihak tentera negara itu bertanggungjawab mempertahankan Yaman daripada kekejaman pakatan Arab. Mereka turut mengendalikan urusan negara sejak Abd Rabbuh Mansur Hadi meletakkan jawatan dan lari ke Riyadh. -ABNA24
/315
30 Jun 2017 - 00:09
News ID: 839560
Tentera Yaman dengan sokongan Jawatankuasa Rakyat telah melancarkan serangan roket terbaharu ke atas sebuah pangkalan tentera yang dikendalikan oleh Arab Saudi di wilayah Najran sekaligus menyebabkan enam anggota tentera Riyadh terbunuh.