31 Ogos 2017 - 15:13
Korea Utara Ancam Tambah Bedilan

Utara menegaskan tembakan peluru berpandu ke arah Jepun adalah langkah pertama operasi ketenteraan di Pasifik dan mengancam menambah bedilan senjata itu ketika berdepan kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan amaran Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Korea Utara menegaskan tembakan peluru berpandu ke arah Jepun adalah langkah pertama operasi ketenteraan di Pasifik dan mengancam menambah bedilan senjata itu ketika berdepan kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan amaran Amerika Syarikat (AS).

Media negara juga mengulangi ancaman terhadap Guam, sebuah wilayah Amerika Syarikat (AS) di Pasifik sambil menamakan kawasan berkenaan se­bagai pangkalan pencerobohan.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA memetik pemimpinnya, Kim Jong-un melaporkan, lebih banyak peluru berpandu balistik dengan menjadikan kawasan Pasifik sebagai sasaran di masa depan.

“Pelancaran peluru berpandu kemarin adalah permulaan yang bermakna untuk memasukkan Guam, pangkalan penceroboh yang maju dan ‘pembuka tirai’ kepada tindak balas Pyongyang terhadap latihan ketenteraan Korea Selatan dan AS yang sedang berlangsung,” katanya.

Kemarin Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak sederhana Hwasong-12 yang melintasi Jepun dan jatuh di perairan utara wilayah Hokkaido.

Akhbar rasmi parti pemerintah Korea Utara, Rodong Sinmun, hari ini menyiarkan lebih 20 gambar pelancaran peluru berpandu itu berhampiran Pyongyang.

Satu daripadanya menunjukkan Jong-un tersenyum lebar dengan peta barat laut Pasifik berada di atas meja sambil dikelilingi pembantunya.

Majlis Keselamatan PBB yang mengenakan tujuh set sekatan ke atas Pyongyang, berkata dalam kenyataan sebulat suara tindakan Korea Utara bukan sahaja mengancam rantau itu tetapi semua negara anggota badan dunia berkenaan.

Sementara itu, Jepun semakin bimbang selepas AS sehingga kini menolak untuk membekalkan negara itu dengan radar baharu yang kuat dalam sistem pertahanan peluru berpandunya bagi menentang ancaman Korea Utara yang semakin meningkat.

Menurut tiga sumber jabatan pertahanan, Jepun mahu mempunyai pertahanan peluru berpandu balistik Aegis (BMD) yang beroperasi pada tahun 2023 sebagai lapisan pertahanan baharu untuk membantu mengatasi kemajuan peluru berpandu Korea Utara.– AFP