27 September 2017 - 13:33
Rohingya: Pegawai Myanmar Ke Bangladesh Minggu Depan

Sepasukan pegawai dari Myanmar akan tiba di Bangladesh minggu depan bagi membincangkan isu perpindahan beramai-ramai etnik Rohingya di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sepasukan pegawai dari Myanmar akan tiba di Bangladesh minggu depan bagi membincangkan isu perpindahan beramai-ramai etnik Rohingya di negara itu.

Tindakan itu dilakukan di tengah-tengah usaha diplomatik besar-besaran mencari penyelesaian berkekalan terhadap krisis terbabit.

Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque, berkata pasukan itu akan tiba awal minggu depan, untuk menguruskan isu Rohingya tetapi tidak memberi butiran lanjut.

Seorang pegawai kanan kementerian luar berkata, pasukan itu dijangka diketuai Menteri dari Pejabat Kaunselor Negara, Kyaw Tint Swe.

Dhaka sebelum itu menjemput menteri berkenaan untuk berunding sebelum ledakan keganasan terbaharu di Rakhine, Myanmar, mencetuskan krisis pelarian terburuk dunia sejak beberapa dekad lalu.

Pengumuman itu dibuat ketika Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 480,000 etnik Rohingya lari ke sempadan tenggara Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

Ditokok dengan 300,000 Rohingya sedia ada dan kehadiran baharu akibat keganasan di Myanmar, kini hampir 800,000 pelarian mendiami kem di sekitar bandar sempadan Bangladesh di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, di YANGON, Reuters dalam laporannya mendapati, tulisan Facebook oleh tentera Myanmar memperincikan fasa awal tindakan kerasnya bulan lalu ke atas pemberontak Rohingya, operasi yang kini disiasat PBB, tidak lagi wujud di laman rasminya.

Tulisan dalam media sosial itu antara 1 Ogos dan 29 Ogos jelas 'disembunyikan' dalam ruangan Facebook pejabat Ketua Komander, Min Aung Hlaing, yang meliputi tindakan ketenteraan termasuk di barat Myanmar, secara terperinci.

Tulisan itu, yang masih boleh ditemui menggunakan tarikh khusus atau carian kata kunci termasuk keterangan terperinci operasi dilancarkan tentera susulan serangan ke atas pasukan keselamatan 25 Ogos lalu.

Tidak jelas mengapa atau bila sebenarnya, tulisan itu hilang. Ia tidak muncul pada Ahad, Isnin atau Selasa dari beberapa lokasi di seluruh Asia.

"Kami tidak menyembunyikan apa-apa, ia mungkin satu kesilapan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Jeneral Aung Ye Win. - AFP/Reuters