Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Syed Ali Khamenei berkata bahawa Amerika Syarikat dan Israel berusaha untuk mengeksploitasi referendum pemisahan wilayah Kurdistan di Iraq dalam rangka mewujudkan Israel baharu di rantau itu.
"Amerika Syarikat dan kuasa asing tidak boleh dipercayai dan (mereka sedang) giat berusaha untuk mewujudkan Israel baharu di rantau ini," kata Ayatullah Syed Ali Khamenei di dalam sebuah pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Tehran pada hari Rabu (4/10).
Menurut beliau, referendum wilayah Kurdistan di Iraq merupakan sebuah pengkhianatan ke atas rantau itu dan dalam masa yang sama akan menjejaskan masa hadapan Timur Tengah secara keseluruhan. Beliau juga memperingatkan pihak terbabit berhubung kesan negatif jangka panjang referendum tersebut ke atas negara-negara jiran Iraq.
Syed Ali Khameni menegaskan bahawa Turki harus menentang perkembangan itu dan dalam masa yang sama mengingatkan pemerintah Baghdad untuk mengambil keputusan dan tindakan yang lebih serius di dalam menangani situasi di wilayah tersebut.
Pemimpin Iran itu turut berkata bahawa kerjasama Iran-Turki di dalam rundingan Astana telah mendatangkan hasil yang positif kepada negara Arab Syria. Akan tetapi, menurut beliau, isu keganasan yang dikepalai oleh Daesh dan gerakan Takfiri memerlukan sebuah pelan jangka panjang untuk diselesaikan secara jitu.
Berhubung isu pemisahan wilayah Kurdistan, Presiden Turki mengatakan bahawa Ankara, Baghdad dan Tehran perlu mengambil langkah kolektif untuk menentangnya.
Erdogan turut menyatakan bahawa terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa A.S dan Israel telah mencapai persetujuan berhubung pemisahan wilayah Kurdistan sambil menegaskan bahawa pemimmpin Kurdis Iraq, Massoud Barzani telah melakukan kesalahan yang besar. -ABNA24
/315
5 Oktober 2017 - 05:14
News ID: 858333
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Syed Ali Khamenei berkata bahawa Amerika Syarikat dan Israel berusaha untuk mengeksploitasi referendum pemisahan wilayah Kurdistan di Iraq dalam rangka mewujudkan Israel baharu di rantau itu.