22 Mei 2018 - 18:48
Palestin Kutuk Tindakan Paraguay Pindah Kedutaan

Palestin mengutuk keras penempatan semula Kedutaan Paraguay di Baitulmaqdis dari Tel Aviv dan menggesa dunia Arab memboikot negara-negara yang bersekongkol dengan dasar Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Palestin mengutuk keras penempatan semula Kedutaan Paraguay di Baitulmaqdis dari Tel Aviv dan menggesa dunia Arab memboikot negara-negara yang bersekongkol dengan dasar Amerika Syarikat (AS).

AS memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei lalu.

Guatemala muncul negara pertama mengikut langkah AS dengan membuka kedutaannya di wilayah yang dipertikai itu, dua hari kemudian.

Kementerian Luar Palestin menganggap perasmian Kedutaan Paraguay di Baitulmaqdis semalam sebagai haram, satu pencabulan terhadap rakyat Palestin selain melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengecam langkah Paraguay dan menyifatkan Presiden Horacio Cartes sebagai ‘pemimpin yang tidak bertanggungjawab’ dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Dengan pembukaan kedutaan di Baitulmaqdis, Paraguay secara jelas melanggar Resolusi 478. Selain itu Cartes telah mengkhianati perjuangan rakyat Amerika Latin yang telah berjuang untuk kebebasan serta keadilan terhadap dominasi dan penindasan,” kata Saeb Erekat.

Erekat juga berkata pihak berkuasa Palestin telah berhubung dengan sekutunya untuk mengambil langkah diplomatik yang diperlukan terhadap pemindahan semula Kedutaan Paraguay, Guatemala dan AS di Baitulmaqdis.

“Kami menggesa negara-negara Arab supaya melaksanakan resolusi Liga Arab 1980, 1990 dan 2000 bagi memutuskan hubungan dengan negara-negara yang memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis atau mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Awal bulan ini, Presiden Palestin Mahmoud Abbas semasa lawatannya ke Venezuela menggesa negara-negara Amerika Latin supaya tidak memindahkan kedutaan masing-masing ke Baitulmaqdis.

Pada Disember tahun lalu, Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel.

Pengumuman itu mencetuskan kemarahan dan protes besar-besaran dunia Islam. - Press TV