26 November 2018 - 16:26
Gempa Kuat Gegar Wilayah Iran

Gempa berkekuatan 6.4 skala Richter menggegar wilayah Kermanshah dan turut menyebabkan lebih 700 orang cedera.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Gempa berkekuatan 6.4 skala Richter menggegar wilayah Kermanshah dan turut menyebabkan lebih 700 orang cedera.

Menurut Institut Geofizik Universiti Teheran, gempa kuat itu berlaku berhampiran bandar Sarpol-e Zahab pada jam 8.07 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 7 kilometer, semalam.

Susulan insiden itu, Presiden Hassan Rouhani menggesa usaha dipergiat untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam kejadian gempa tersebut.

Menerusi panggilan telefon bersama Gabenor Kermanshah, Houshang Bazvand, hari ini, Rouhani menegaskan bantuan perlu dipertingkatkan untuk membantu mangsa terjejas gempa selain menyediakan tempat perlindungan sementara untuk mereka.

Jelas Bazvand, seramai 18 daripada 729 yang cedera kini dirawat di hospital.

Difahamkan, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian itu, namun gempa itu telah menyebabkan bekalan elektrik terputus.

"Sebanyak 13 kumpulan kini berada di lokasi untuk menilai kerosakan. Selain itu, 31 perkampungan bergelut dengan masalah air, namun lori tangki telah dihantar untuk memberi bekalan air minuman kepada mereka," ujarnya lagi.

Sehingga kini, lebih 160 gempa susulan direkodkan yang turut dirasai sehingga wilayah semi autonomi, Kurdistan.

November tahun lalu, gempa 7.3 magnitud menggegar Kermanshah dan turut meragut sekurang-kurangnya 620 nyawa manakala lebih 12,000 yang lain cedera. - Press TV