Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berikrar untuk menentang kumpulan pengganas yang berpangkalan di Pakistan khususnya mereka yang melancarkan serangan di luar negara tersebut, berikutan serangan berdarah oleh kumpulan terbabit di India dan Republik Islam Iran.
"Kerajaan ini tidak akan membiarkan tanah Pakistan digunakan untuk apa-apa jenis kegiatan keganasan di luar (wilayah negara ini)," kata Khan yang berucap di dalam perhimpunan awam di selatan Pakistan pada hari Jumaat semalam. "Kami tidak akan membenarkan mana-mana kumpulan pengganas beraktiviti di negara kita mulai sekarang."
Hubungan Islamabad dengan negara-negara jirannya menjadi tegang akibat daripada serangan pengganas oleh kumpulan tersebut yang berpangkalan di Pakistan.
Pada 13 Februari lepas, seorang pengebom yang dikenal pasti oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai seorang warga Pakistan, Hafiz Mohammad Ali memandu kereta yang dimuatkan dengan bahan letupan ke arah sebuah bas yang membawa para anggota IRGC di Wilayah Sistan-dan-Baluchestan Iran - yang bersempadan dengan Pakistan - sekaligus membunuh 27 orang dan mencederakan 13 yang lain.
Sehari selepas serangan di Iran, sebuah bom kereta membunuh 40 anggota tentera paramiliter India di kawasan Kashmir yang dikuasai oleh Delhi.
Serangan di Iran dan India tersebut bukanlah yang pertama dilancarkan oleh pengganas seperti itu.
Serangan di India itu telah mendorong Delhi untuk melancarkan serangan udara terhadap apa yang didakwanya sebagai kedudukan militan di wilayah Pakistan. Pakistan bertindak balas dengan melancarkan serangan merentas sempadannya sendiri dan perkata tersebut telah meningkatkan ketegangan yang sedia ada.
Pakistan juga menembak jet pejuang India dan menahan juruterbangnya. Akan tetapi, pentadbiran Imran Khan membebaskannya sejurus selepas itu sebagai tindakan perdamaian. -Press TV
9 Mac 2019 - 07:22
News ID: 932321
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berikrar untuk menentang kumpulan pengganas yang berpangkalan di Pakistan khususnya mereka yang melancarkan serangan di luar negara tersebut, berikutan serangan berdarah oleh kumpulan terbabit di India dan Republik Islam Iran.